Baru-baru ini, seorang penyanyi senior, Man Bai telah membuat dakwaan dengan mengatakan penyanyi popular, Aina Abdul tidak mempunyai ‘killer song’ atau lagu malar segar untuk diingati peminat.
Susulan dakwaan tersebut, Aina, 31, mengakui sedih dengan perkara itu dan sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, dia memang bekerja keras untuk menjadikan lagu-lagunya seperti Sumpah, Semalam, Sepi dan Terus Hidup sebagai ‘killer song’.
Sudah tentu saya sedih dengan dakwaan abang Man Bai itu, tetapi saya tidak tahu konteks temubual itu (temubual Man Bai bersama pihak media) sebelum ini.
“Jadi, saya enggan jadikan isu ini membuatkan saya berasa janggal bila bertemu dengannya nanti,” katanya.
Artikel berkaitan: “Malas layan tong kosong” – Kredibiliti Dipersoal Man Bai, Ini Jawapan Ramli MS
Artikel berkaitan: ”Boleh lawan Aina Abdul”- Cover Lagu Jangan Mati Rasa Itu, Lelaki Ini Buat Orang Ramai Terpegun
Hormati pandangan penyanyi senior
Walau bagaimanapun, Aina berkata, dia menghormati pandangan penyanyi senior seperti Man Bai.
Saya masih baru dalam industri muzik ini dan saya tidaklah sematang abang Man Bai. Saya hormat dengan pendapatnya dan menerima semuanya.
“Mungkin saya masih memerlukan masa yang panjang untuk ada ‘killer song’ seperti dakwaannya itu.
“Saya juga akan terus bekerja keras untuk menghasilkan ‘killer song’ itu dan memastikan lagu-lagu nyanyian sentiasa malar segar dan terus menjadi siulan peminat,” kata Aina lagi.
Aina juga mengakui seorang penyanyi itu perlu mempunyai ‘killer song’ untuk bertahan dalam industri muzik, tetapi mungkin masih belum tiba masanya untuk dia memiliki lagu ‘berhantu’ seperti yang dimaksudkan Man Bai itu.
“Terima kasih abang (Man Bai). Jangan berasa janggal dengan saya sebab latihan nyanyian yang seterusnya mungkin saya masih akan lakukan di studio milik abang,” katanya.
Aina juga pada masa yang sama menganggap kenyataan Man Bai sebagai satu semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya malar segar selepas ini.
Semoga terus sukses Aina!
Sumber: Harian Metro