Angkara tindakan melampau menyimbah lelaki orang kurang upaya (OKU) dengan air panas di dalam sebuah lif, wanita dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM6,000.
Mahkamah Sesyen Balik Pulau menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Oo Saw Kee, 39, yang bekerja sebagai pembantu jualan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Menurut hakim mahkamah, pihaknya mendapati perbuatan tertuduh merupakan satu kesalahan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Artikel berkaitan: Dipercayai Dendam Lama, Polis Dedah Punca Wanita Simbah Air Panas Terhadap OKU
Artikel berkaitan: Tak Dapat Kawal Marah, Ibu Simbah Air Panas Ke Anak Sebab Habiskan Data Internet
“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat bahawa ia satu perbuatan kejam, tambahan pula tidak ada provokasi daripada mangsa. Mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh.
“Tujuan hukuman ini bukan sahaja untuk memberi peringatan kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan ini kepada mana-mana OKU.
“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh, jika gagal membayar denda tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan,” katanya.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap A.Solairaj, 33, dengan menyimbah air panas ke arahnya di dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada 19 April lalu.
Menurut mahkamah, mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu dan leher.
Justeru, mahkamah memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana ia telah memberi kesan kepada mangsa yang akan mengalami kesedihan dan kecacatan kekal akibat terkena simbahan air panas.
Sumber: Kosmo!