Suatu aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara real time atau menggunakan data masa nyata akan dibangunkan oleh Sarawak melalui kerjasama yang dijalinkan antara Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata menerusi aplikasi itu, populasi buaya akan dapat dipantau secara berterusan selain kawasan panas konflik manusia dan buaya dapat dikenal pasti.
Tambahnya lagi, kerajaan Sarawak sentiasa bersedia mempelopori penggunaan teknologi terkini dalam mana-mana bidang.
Beliau menerangkan, buat masa ini secara amnya pemerhatian dan merekodkan taburan buaya dan juga sarang reptilia berkenaan dilaksanakan menggunakan dron dan juga Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).
Dalam masa yang sama, beliau mengakui yang manusia perlu berkongsi habitat dengan haiwan pemangsa berkenaan dan langkah-langkah bersesuaian bagi mengurangkan risiko serangan buaya perlu diambil.
Perkara tersebut dijelaskan semasa menjawab soalan Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini ketika ditanya apakah langkah yang akan diambil kerajaan bagi mengatasi ancaman serangan buaya di negeri berkenaan.
Tambah Len Talif lagi, bermula dari 2020 hingga kini, SFC telah menjalankan sebanyak 107 operasi dan sebanyak 95 ekor buaya telah ditangkap serta 482 biji telur haiwan berkenaan telah dipindahkan.
Selain itu, sebanyak 77 lesen pemburuan buaya turut dikeluarkan bagi mengurangkan populasi buaya di Sarawak selain mengadakan Program Kesedaran 3M (mengetahui, memahami dan memulihara) Buaya yang dianjurkan di kawasan-kawasan yang mempunyai kehadiran haiwan berkenaan.
Dalam masa yang sama, papan tanda amaran kehadiran buaya juga turut diletakkan di kawasan yang strategik, tambahnya lagi.
Sumber : Awani
Baca : Ada Huruf K & H, Ini Perbezaan Kad Pengenalan Orang Sabah & Sarawak Dari Semenanjung