Seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui rentung di sebuah kediaman dalam kebakaran melibatkan 40 buah rumah di Lorong Jati, Kampung Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas, Tawau, malam semalam.
Apa yang menyayat hati adalah luahan hati datuk kepada kanak-kanak yang terkorban semalam, Mohd Tahir Nabil, 70.
Menurut laporan Harian Metro, warga emas tersebut kesal kerana tidak menyedari cucunya masih berada di dalam bilik kerana hampir semua ahli keluarganya panik disebabkan keadaan yang gelap.
Artikel berkaitan: Kedai Perabot Berhampiran LDP Hangus Terbakar
Artikel berkaitan: “Saya selamat, tapi kawan-kawan saya” – Mangsa Selamat Bas Terbakar Menangis Teresak-esak Dipeluk Ibu
Tambah Mohd Tahir, hampir semua 13 ahli keluarganya termasuk isteri, anak dan enam cucu berada di rumah dan ada yang sudah nyenyak tidur ketika kejadian tersebut berlaku.
“Saya terkejut apabila terdengar suara jiran menjerit dari luar rumah mengatakan rumah terbakar sebelum melihat api marak di bahagian hadapan tangga rumah.
“Malangnya, kami tidak sedar Airis tiada bersama kami. Rupa-rupanya dia masih ada dalam bilik di tingkat atas,” katanya.
Menurut warga emas tersebut, dia cuba meredah api untuk menyelamatkan cucunya itu namun tidak berjaya kerana api terlalu marak.
Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku sekitar 12.10 tengah malam itu, sebanyak 40 buah rumah hangus terbakar, menyebabkan kebanyakan penduduk di situ kini tinggal sehelai sepinggang.