Bermula 1 April lepas kita sudahpun ke Fasa Peralihan Ke Endemik endemik dan antara kelbihan yang kita dapat adalah premis yang sepatutnya beroperasi 24 jam boleh dibuka semula macam biasa.
Salah satu contoh paling ketara adalah kedai mamak, biarpun pengumuman itu sudah dibuat lama untuk peniaga membuat persediaaan, namun sudah beberapa hari fasa ini berlalu, tinjauan Bernama di sekitar ibu negara mendapati masih banyak lagi restoran mamak yang hanya beroperasi sampai 2 pagi sahaja.
Masih tak mampu buka 24 jam sebab tak cukup pekerja
Menerusi Astro Awani, Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan menjelaskan bahawa ia berpunca disebabkan kekurangan pekerja untuk menampung operasi, walaupun permintaan tinggi, apatah lagi masa bulan Ramadan ni.
“Permintaan memang ada lebih-lebih lagi bulan puasa untuk sahur dan sebagainya, cuma dalam kalangan pengusaha ada kekangan tidak cukup pekerja kerana ramai yang balik ke negara asal semasa Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia sebelum ini.”
Tambah beliau lagi hanya 25 peratus dariapda 9,000 ahli Presma di Malaysia ini mampu buka 24 jam.
Kata Jawahar, banyak inisiatif telah dilakukan termasuk program bersama agensi kerajaan bagi menarik minat anak tempatan untuk bekerja di restoran mamak namun masih belum mampu menyelesaikan masalah itu.
Oleh itu, beliau merayu kepada kerajaan supaya dapat membantu meringankan beban yang dihadapi pengusaha restoran mamak.
“Sekarang ini permintaan memang tinggi daripada pelanggan, cuma tiada pekerja untuk uruskan perniagaan kami. Bayangkan, rezeki dah ada di depan mata tapi kami tak boleh nak tampung,”
Sementara itu, Pengurus Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Ampang Hassan Mohideen berkata biarpun pelanggan semakin bertambah namun tenaga kerja kurang, mereka tetap berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Setakat ini, kami masih mampu melayan pelanggan yang datang walaupun ada masalah kekurangan pekerja. Baru dua hari (Ramadan) masih okey, lepas ini tak tahu lagi.”
Sementara itu, pengurus sebuah kedai serbaneka di Setapak Salmah Said berkata cawangannya masih tidak dapat beroperasi 24 jam disebabkan pekerja tidak mencukupi.
“Setakat ini, kami hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam dan isu ini sudah di bawah pengetahuan pihak pengurusan yang sedang berusaha menyelesaikannya,” kata beliau.
Baca : Lepas Kena Khianat Terus Datang Malaysia, Lelaki Ini Jumpa ‘Ali’ Squid Game Di Kedai Mamak