Susulan tular video anggota JPJ yang dirempuh oleh penunggang motosikal hingga cedera dalam satu sekatan jalan raya baru-baru ini, pelaku Nor Khairul Azwa Azizi didenda RM 5,000 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson.
Menurut Harian Metro, Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Artikel Berkaitan : “Dia yang datang ke arah saya” – Anggota JPJ Dirempuh Penunggang Motosikal Cerita Situasi Sebenar
Artikel Berkaitan : Tular Video Penunggang Motor Rempuh Anggota JPJ Sampai Cedera, Rupanya Tiada Lesen Memandu & Road Tax
Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 3 bulan. Dalam pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, daripada menjalankan fungsi amnya dalam operasi pasukan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mampu memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam, malah pihak mahkamah juga harus ambil kira kecederaan anggota JPJ itu.
Sumber : Harian Metro