Nota: Gambar di sebelah kanan adalah gambar hiasan semata-mata dan bukan gambar ketika kejadian.
Semestinya sebagai seorang manusia, setiap orang pasti mahu mencapai hasrat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Seperti seorang lelaki berasal dari Kampung Teringai Darat, Kota Marudu, Sabah ini yang sempat memeluk agama Islam sebelum kematiannya.
Azyet Jopilin, 17, dari etnik Rungus datang ke Kuala Nerang, Kedah empat bulan lalu untuk tinggal bersama ayahnya. Dia seharusnya ke pejabat agama pada jam 2 petang semalam atas urusan menukar agama namun menemui ajalnya lebih awal.
Pagi semalam, Azyet pergi menoreh getah di sebuah kebun milik majikan bapanya. Namun, selepas selesai menoreh di kebun pertama, anak sulung daripada tiga beradik itu enggan meneruskan kerja di kebun kedua.
Menurut bapanya, Abdul Aziz Abdullah yang telah memeluk Islam lapan tahun lalu, dia dan seorang lagi anak lelakinya turut bersama Azyet menoreh di kebun berkenaan.
Dia tidak mahu mengikut kami ke kebun kedua kerana mahu pulang ke rumah,” katanya.
Menyedari kunci rumah tertinggal, Azyet berpatah balik ke kebun untuk ambil kunci tersebut daripada bapanya.
Ketika dalam perjalanan untuk ke kebun semula, motorsikal ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar pokok. Mangsa bagaimanapun sempat mengucap dua kalimah syahadah selepas diajar dan dibantu oleh orang kampung pertama yang tiba di lokasi. Alhamdulillah.
Beberapa minit selepas mengucap, mangsa menghembuskan nafas yang terakhir di lokasi kemalangan.
Menurut Abdul Aziz, orang kampung memang sedia maklum bahawa mangsa berniat untuk memeluk Islam. Disebabkan itu, mereka mengajarnya untuk mengucap dua kalimah syahadah selepas melihat keadaan mangsa yang sudah tenat.
Memang dia sudah lama berniat mahu memeluk Islam dan turut belajar perkara asas dalam Islam seperti sembahyang dan mengucap dua kalimah syahadah,” kata Abdul Aziz.
Abdul Aziz menyifatkan anaknya itu seorang yang periang dan suka menyakat adik-adiknya selain mengakui turut berasa sedih di atas kehilangannya namun sangat bersyukur kerana mangsa meninggal dunia dalam keadaan sudah memeluk Islam dan jenazah diuruskan mengikut cara Islam.
Alhamdulillah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.