Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Los Angeles, California baru-baru ini mengejutkan dunia dengan pencapaiannya yang sangat luar biasa.
Cassandra Hsiao telah mendapat surat tawaran dari lapan institusi terbaik Amerika Syarikat!
Gadis berusia 17 tahun itu kini mempunyai pilihan untuk melanjutkan pelajaran di Yale, Princeton, Pannsylvania, Brown, Darthmouth, Cornell, Columbia dan juga universiti terbaik dunia, Harvard! Hebatnya!
Ianya sukar untuk dipercayai. Saya buka kesemua surat tawaran itu, setiap satu dan semuanya tertulis ‘Tahniah! Tahniah!’ Saya tahu ianya sesuatu yang istimewa,” katanya.
Bukan itu sahaja, gadis yang mengharumkan nama Malaysia ini turut menerima tawaran daripada beberapa institut berprestij lain antaranya adalah Stanford, John Hopkins, University of Southern California, Northwestern, New York University dan Amherst College.
Cassandra merupakan pendatang generasi pertama yang berhijrah dari Malaysia ke Amerika Syarikat ketika berumur lima tahun. Dia membesar di Walnut, Los Angeles dan karangan permohonannya tentang bagaimana dia belajar bahasa Inggeris ketika baru berhijrah suatu ketika dahulu telah menarik perhatian kesemua institut tersebut.
Pelajar di The Orange County School of the Arts itu juga mempunyai gred yang menakjubkan iaitu 1540 dalam ujian SAT (Scholastic Assessment Test) serta GPA 4.67!
Bukan hanya seorang pelajar yang pintar dalam pelajaran, Cassandra turut aktif dan mempunyai rekod mengagumkan di dalam kokurikulum. Dia juga merupakan ketua pengarang majalah sekolah serta menjadi salah seorang presiden badan pelajar.
Di masa lapangnya, Cassandra meluangkan masa mencurahkan idea dan menyumbangkan penulisan di beberapa laman web.
Kini gadis muda itu sedang mempertimbangkan untuk membuat keputusan memilih institut melanjutkan pelajarannya. Menurut Cassandra, minatnya lebih mendalam di dalam bidang bahasa Inggeris, penulisan dan filem.
Memang susah nak buat keputusan kalau dapat tawaran sebanyak ni! Tahniah diucapkan kepada Cassandra dari Lobak Merah. Semoga berjaya!