in

Relevan Ke 6 Tahun Masuk Darjah 1? Ini 5 Negara Yang Berjaya Mulakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Featured LM 91

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kecoh di media sosial apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dasar pendidikan negara bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Ramai orang mula berkongsi pandangan masing-masing mengenai perubahan yang diumumkan, terutamanya berkaitan cadangan untuk menurunkan umur bagi Darjah 1 iaitu daripada 7 tahun kepada 6 tahun. Perubahan ini secara langsung telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga internet mengenai kepentingan langkah tersebut dalam konteks sistem pendidikan semasa.


Rata-rata daripada para ibu bapa juga menzahirkan rasa kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan dasar baharu ini ekoran masih belum yakin lagi terhadap kebolehan anak-anak mereka untuk menyerap ilmu di usia yang sangat muda.

Namun sebenarnya, pelaksanaan dasar baharu ini adalah secara sukarela serta mengikut keupayaan anak masing-masing. Ini bermakna, pendaftaran Darjah 1 seawal usia 6 tahun tidak diwajibkan pun buat masa sekarang.

Jadi, usia berapakah yang seeloknya untuk anak-anak mula didedahkan dengan pendidikan?

Artikel Berkaitan: Rangkuman Pengumuman PMX Dalam Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: KPM : Kemasukan Tahun Satu Pada Usia 6 Tahun, Tamat Sekolah Pada Umur 16 Tahun – Lobak Merah

Usia yang sesuai untuk anak-anak belajar

Menurut Majalah Pa & Ma, usia yang terbaik buat anak-anak didedahkan dengan pendidikan adalah pada usia 6 tahun sebagai persediaan untuk masuk ke darjah 1. Hal ini kerana, perkembangan anak-anak selalunya berlaku secara berperingkat.

Pada usia 4 tahun, anak-anak mula menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi dan belajar secara semula jadi melalui bermain. Mereka masih meneroka dunia di sekeliling dan pengalaman belajar pada tahap ini seeloknya lebih kepada bersifat santai tanpa tekanan akademik.

Apabila mereka mula mencapai usia 5 tahun, mereka akan mula memahami arahan dan situasi dengan lebih baik, sekaligus membina kemahiran berdikari serta asas sosial dan emosi.

Jadi sebab itulah usia 6 tahun adalah umur yang paling sesuai untuk didedahkan dengan latihan akademik seperti membaca, menulis dan mengira (3M). Pendekatan berperingkat ini menjadikan pengalaman belajar lebih menyeronokkan dan membantu mereka bersedia dengan lebih baik untuk menghadapi sekolah rendah.

Seperti yang kita tahu, beberapa negara tertentu sudah lama menerapkan sistem yang mewajibkan kanak-kanak memulakan sekolah rendah seawal usia 6 tahun. Dengan negara kita merancang untuk memperkenalkan dasar ini, kita boleh mengambil inspirasi ini daripada pengalaman negara-negara yang telah berjaya melaksanakannya.

Berikut adalah beberapa negara yang telah memulakan pendidikan formal di sekolah seawal usia 6 tahun.

1. China

china school

Di China, kanak-kanak biasanya mula masuk sekolah rendah pada usia enam tahun walaupun di sesetengah kawasan umur permulaan adalah tujuh tahun.

Negara China sangat menekankan pendidikan sekolah rendah di mana ianya akan berlangsung selama enam tahun sebagai asas pendidikan formal bagi setiap kanak-kanak.

Bahasa pengantar utama di China sudah tentunya adalah Mandarin, tetapi difahamkan ianya dikecualikan di sekolah rendah yang khusus untuk pelajar minoriti etnik.

Setiap tahun persekolahan biasanya bermula pada bulan September dan berakhir pada bulan Julai yang dibahagikan kepada dua semester dengan menghadiri kelas lima hari seminggu, sama seperti pelajar di Malaysia.

Menariknya, sejak tahun lepas, sekolah rendah dan menengah di Beijing telah menawarkan sekurang-kurangnya lapan jam kelas subjek Artificial Intelligence (AI) yang menekankan latar belakang dan etika penggunaan AI serta cara menggunakan chatbot dan alat-alat teknologi lain.

2. Jepun

japan school

Di Jepun pula, kanak-kanak kini diwajibkan untuk mendapat pendidikan rendah seawal usia 6 tahun.

Sistem pendidikan Jepun dibahagikan kepada enam tahun sekolah rendah dan kemudian diikuti dengan tiga tahun sekolah menengah rendah. Selepas itu secara kebiasaannya, pelajar akan lanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah atas sehingga sekitar umur 17 hingga 18 tahun sebelum ke universiti.

Pada peringkat awal sekolah rendah, pembelajaran bukan sahaja menumpukan akademik seperti bahasa Jepun, matematik dan sains sahaja, tetapi turut menekankan pembentukan sahsiah dan nilai moral.

Pendidikan di Jepun sangat menekankan elemen seperti pendidikan moral, aktiviti berkumpulan dan pembelajaran berasaskan kehidupan seharian agar boleh membentuk sikap bertanggungjawab serta menghormati masyarakat sejak usia yang awal.

3. Austria 

austria school

Di Austria, setiap kanak-kanak yang berumur 6 tahun sebelum 1 September diwajibkan untuk didaftarkan ke sekolah rendah dan biasanya akan berlangsung selama empat tahun di mana pelajar akan menghadap Tahun 1 hingga ke Tahun 4.

Berbeza dengan jadual persekolahan di Malaysia, Austria biasanya menjadualkan kalender akademiknya pada bulan September dan berakhir pada bulan Julai tahun berikutnya.

Tujuan negara ini memasukkan kanak-kanak seawal 6 tahun ke sekolah rendah adalah untuk menyokong perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Sistem pendidikan mereka percaya yang pada usia seawal 6 tahun, kanak-kanak sudah bersedia untuk belajar dalam persekitaran yang lebih berstruktur, asalkan pendekatannya bersesuai dengan tahap perkembangan mereka.

Pada peringkat ini, Austria tidak membebankan pelajarnya dengan akademik berat. Malah, lebih membimbing pelajarnya untuk menyesuaikan diri dengan rutin sekolah dan pembelajaran formal secara perlahan.

4. Sweden 

sweden school

Sistem pendidikan di Sweden memperkenalkan kemasukan förskoleklasske pendidikan formal sejak usia 6 tahun melalui förskoleklass, iaitu kelas peralihan antara tadika dan sekolah rendah.

Sejak tahun 2018, kerajaan Sweden telah mewajibkan semua kanak-kanak berumur enam tahun untuk mengikuti kelas ini sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Förskoleklass ini berfungsi sebagai jambatan antara tadika dan sekolah rendah bagi memastikan peralihan kanak-kanak ke alam persekolahan berlaku secara lebih tersusun agar tidak mengejutkan mereka untuk terima pendidikan secara formal.

Walaupun grundskola atau sekolah rendah di Sweden secara rasminya bermula pada usia 7 tahun, tapi förskoleklass tetap dianggap sebagai pendidikan formal yang berstuktur.

Pembelajarannya juga lebih berfokus kepada aktiviti berasaskan bermain, penerokaan, komunikasi serta pengenalan awal kepada kemahiran membaca, menulis, mengira serta aktiviti-aktiviti yang selari dengan tahap perkembangan kanak-kanak pada usia tersebut.

5. Perancis 

french school

Di Perancis pula, kanak-kanak biasanya memulakan pendidikan formal pada umur 6 tahun apabila mereka memasuki sekolah rendah atau turut dipanggil sebagai école élémentaire dalam bahasa Perancis.

Sebelum usia 6 tahun, kanak-kanak di Perancis sebenarnya telah disarankan untuk dimasukkan ke dalam pra sekolah atau turut dipanggil sebagai école maternelle seawal usia 3 tahun sebagai cara untuk memperkenalkan pembangunan sosial, kemahiran komunikasi dan asas pembelajaran secara santai melalui bermain.

Sekolah rendah di Perancis akan berlangsung selama 5 tahun yang mana pelajar sekolah akan belajar kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira secara lebih tersusun. Kemudian, barulah mereka akan diperkenalkan kepada mata pelajaran lain untuk membina asas pengetahuan secara menyeluruh sebelum melangkah ke peringkat menengah.

Oleh itu, memperkenalkan pendidikan formal kepada usia 6 tahun boleh menjadi langkah yang sesuai sebenarnya untuk membantu kanak-kanak membina asas pembelajaran mereka. Dengan pendekatan yang berperingkat dan menyeronokkan, mereka boleh menyesuaikan diri dengan rutin sekolah sambil menerapkan minat terhadap ilmu.

Sumber: WEN, OEAD, Fortune, Teach Starter

Sumber: China Daily
Sumber: Buzz Feed
Sumber: Expatica
Sumber: The Guardian
Sumber: Expatica

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.