Siri popular Netflix, Squid Game musim kedua masih lagi menjadi bualan ramai penonton di seluruh dunia sejak ditayangkan pada 26 Disember lalu.
Di sebalik kepopularan karya Hwang Dong Hyu ini, tular pula teori yang mengaitkan siri Squid Game dengan tragedi kelam yang pernah berlaku di Korea Selatan sekitar tahun 80-an.
Kenapa Squid Game dikaitkan dengan Brothers’ Home?
Seperti yang semua tahu, Squid Game mengisahkan tentang mereka yang mengambil bahagian dalam permainan kanak-kanak tradisional untuk memenangi hadiah wang tunai lumayan.
Namun, mereka tidak menyangka apabila perlu bersaing untuk hidup demi mendapatkan wang lumayan itu. Mereka yang sertai permainan ini pula adalah daripada golongan yang dibebani masalah hutang.
Artikel berkaitan: Kualiti ‘Squid Game 2’ Dipertikai, Kantoi Ada Kelibat Jurukamera Dalam Babak
Berdasarkan kisah ini, ada beberapa pihak yang mengaitkannya dengan kem tahanan yang digelar Brothers’ Home.
Pada tahun 1986, satu skandal besar telah menggegarkan negara Korea Selatan. Skandal itu dikenali sebagai kes Brothers’ Home.
Insiden ini menunjukkan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di dalam rumah kebajikan yang sepatutnya berfungsi sebagai pusat pemulihan sosial.
Brother’s Home atau lebih dikenali sebagai Brothers Welfare Center merupakan sebuah pusat kebajikan untuk golongan gelandangan, pengemis, anak yatim, orang kurang upaya dan mereka yang ‘tidak diingini’ dalam masyarakat.
Namun, di sebalik nama itu, ia sebenarnya lokasi eksploitasi, penyiksaan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dahsyat pada akhir 1980-an.
Ketika itu, Korea Selatan berada di bawah pemerintahan autoritarian dan giat melakukan usaha untuk ‘membersihkan’ kawasan bandar menjelang acara besar Sukan Olimpik Seoul 1988.
Pihak berkuasa menangkap gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan, orang kurang upaya dan mereka yang gagal menunjukkan pengenalan diri lalu menghantar mereka ke Brothers’ Home tanpa proses undang-undang yang adil.
Artikel berkaitan: Akan Ada Patung Baru Dalam Siri Squid Game 3, Ini Asal Usul Patung Young-Hee & Chul-Su
Tahanan diseksa kejam, diperlakukan seperti hamba
Dalam satu laporan dari BBC, beribu-ribu orang telah dikurung secara paksa dan diperlakukan seperti hamba. Malah, laporan menunjukkan penderaan seksual dan penggunaan ubat antipsikotik untuk mengawal tahanan.
Dalam kem itu, tahanan diberikan baju sukan berwarna biru, kasut getah dan sehelai seluar dalam nilon.
Mereka dikerah untuk melakukan kerja berat tanpa dibayar. Lebih teruk lagi, mereka akan dipukul hingga tidak bernyawa di hadapan mangsa-mangsa yang lain jika cuba untuk melarikan diri dari tempat tersebut.
Skandal ini akhirnya terbongkar pada tahun 1986 apabila seorang pendakwa raya, Kim Yong-won, memulakan siasatan ke atas tempat itu selepas mendengar khabar angin daripada seorang pemburu tempatan yang ternampak sekumpulan tahanan dipaksa berkerja di kawasan pergunungan sambil dipukul oleh pengawal bersenjata kayu.
Dilaporkan sekurang-kurangnya lebih 500 kematian dicatatkan akibat penderaan dan kekurangan zat makanan. Mayat tahanan dibakar, dikebumikan secara rahsia dan organ-organnya dijual kepada hospital berhampiran.
Walaupun beberapa bukti kukuh ditemui, ramai pegawai yang terlibat tidak dihukum, dan pengarahnya, Park In-geun hanya dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun atas tuduhan penyelewengan dana.
Walaupun kem tahanan yang begitu kejam itu sudah ditutup, trauma yang dialami mangsa dan keluarga masih membekas.
Malah, mangsa-mangsa yang terselamat sehingga hari ini masih lagi menuntut keadilan dan pampasan atas penderitaan yang dialami.
Kes ini juga menjadi simbol penyalahgunaan kuasa dan kepentingan perlindungan hak asasi manusia di Korea Selatan.
Betul ke Squid Game berdasarkan tragedi Brother’s Home?
Pengarah Hwang Dong Hyu menjelaskan karyanya itu diinspirasi daripada filem Jepun seperti Battle Royale dan Liar Game.
Manakala latar belakang kisah pelakon utama, Seong Gi-hun atau dikenali sebagai Pemain 456 berdasarkan kes mogok pekerja kilang Ssangyong Motors pada tahun 2009.
Walaupun siri Squid Game bukanlah daripada mana-mana kisah benar termasuklah peristiwa di Brothers’ Home, tetapi kedua-dua cerita ini menunjukkan penindasan kepada golongan yang lemah demi kepentingan pihak tertentu serta penderitaan akibat sistem yang tidak adil.
Sumber: Sportskeeda, Wikipedia, BBC