Kalau korang pernah ada angan-angan nak memiliki sebuah pulau, mungkin inilah berita yang korang nak sangat dengar.
Terletak di antara Menumbok, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Daat yang mempunyai keluasan 237.55 hektar ini difahamkan akan dilelong pada 27 Mei 2022 di Bornion Centre, Jalan Kolam, Luyang, Kota Kinabalu.
Menurut laporan, iklan lelongan terbuka pulau berkenaan tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu dan difahamkan ia bakal dilepaskan pada harga rizab RM121.5 juta!
https://www.facebook.com/Selangorauctionproperty/posts/2151613578341878
Proses lelongan difahamkan bakal dikendalikan oleh Pelelong Bumiputera susulan pembubaran Potensi Bernas Sdn Bhd (Potensi Bernas) iaitu syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah berdaftar di Sabah selaku pemilik Pulau Daat.
Kalau nak diikutkan, proses lelongan ini sepatutnya dilaksanakan tahun lepas, namun ia terpaksa ditangguhkan gara-gara sekatan yang dikenakan akibat penularan wabak Covid-19.
Difahamkan, Pulau Daat ini juga sebahagian dari Labuan dan mempunyai tempoh pajakan selama 999 tahun. Menurut Harian Metro, tempoh berkenaan akan tamat pada 31 Disember 2853!
Pernah beberapa kali bertukar pemilik, Pulau Daat pada awalnya ialah dimiliki oleh seorang warga British, John Gavaron Treacher dan Clarence Cooper berdasarkan geran yang dikeluarkan pada tahun 1856 oleh Gabenor Labuan, George Edwardes bagi pihak Ratu Victoria, pada masa itu.
Selepas itu, difahamkan juga ia sudah beberapa kali bertukar tangan kepada pemilik lain sehinggalah yang terakhir, Potensi Bernas.
Dari segi potensi, sebelum ini pulau berkenaan pernah dicadangkan sebagai laluan bagi jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok sepanjang 9.15 kilometer, mengambil kira usaha untuk membangunkan Pulau Daat yang lama terbiar.
Selain itu, pulau berkenaan pernah berjaya untuk menarik pelabur pada tahun 2011 untuk pembangunan kompleks petroleum bersepadu bernilai RM3 billion, namun ianya terpaksa dibatalkan atas faktor geografi Pulau Daat yang cetek dan berlumpur.
Ini menyebabkan ianya tidak sesuai sama sekali untuk dibangunkan sebagai kawasan industri minyak dan gas.
Baca : 8 Pulau Cantik Di Johor Wajib Dikunjungi Bila Dah Boleh Rentas Negeri