Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman hari ini ditambah hukuman penjaranya selama 14 bulan di Mahkamah Majistret Klang atas kesalahan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki dua tahun lalu.
Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhi hukuman itu selepas PU Azman mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya dan hukuman penjara diperintahkan berjalan bermula hari ini.
Artikel berkaitan: “Hafal satu juzuk Al-Quran dalam penjara” – Mahkamah Tolak Satu Representasi PU Azman
Artikel berkaitan: PU Azman Dipenjara 24 Tahun & 2 Sebatan Atas Kesalahan Amang Sek*ual
Menurut laporan Kosmo!, PU Azman sebelum ini dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu.
Peguam Fahmi Adilah dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya seorang duda yang telah insaf dan menyesal atas perbuatannya selain berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.
“Anak guam juga memohon maaf kepada pengadu terlibat, kerajaan Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia dan mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara).
Pengakuan salah ini didorong oleh faktor keinsafan tertuduh. Justeru dengan rendah diri dan harapan yang tinggi berharap mahkamah memberikan hukuman yang minimum,” ujarnya.
Sebagai info, PU Azman didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam, 10 Jun lalu.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.
Sumber: Kosmo!