Bagi mereka yang ada pengalaman mengundi, pasti ada yang pernah dapat sponsor meehon atau apa-apa makanan yang berikan oleh ahli-ahli jawatan kuasa kampung/residensi yang mewakili sesuatu parti.
Untuk makluman, perbuatan yang dilakukan ini sebenarnya dikira rasuah, laporan daripada Astro Awani ada menjelaskan perkara ini secara terperinci.
Elemen rasuah ketika berkempen
Menurut sumber, kesemua parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disarankan supaya berhati-hati dalam segala tindak tanduk untuk meraih perhatian pengundi kerana ada beberapa perkara yang sebenarnya dikira sebagai kesalahan ketika berkempen.
Ada kemungkinan tindakan itu berusur rasuah dan dianggap salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954), Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kanun Keseksaan (KK) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).
Sumber menyatakan bahawa biarpun undang-undang AKPR 1954 agak ketat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menjalankan siasatan, denda terhadap calon atau sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Walau bagaimanapun, undang-undang sedia ada masih membolehkan SPRM, PDRM dan SKM untuk ambil tindakan jika ada laporan. Sumber menyatakan bahawa ramai ahli politik yang hendak menjadi calon mungkin tak berapa peka bahawa AKPR 1954 merangkumi banyak aspek yang membentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas iaitu:
- Seksyen 8 (penjamuan),
- Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar),
- Seksyen 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya dan hukumannya boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.
Dibawah ini penjelasan secara terperinci mengenai setiap Seksyen.
Seksyen 8 : Tawar makanan & minuman
Menawarkan makanan dan minuman kepada pengundi juga dianggap rasuah kerana tindakan tersebut telah menunjukkan penghargaan kepada pengundi, apatah lagi jika calon itu berharap agar mengundi dirinya. Bersadarkan seksyen :
“…dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”
Seksyen 9 : Pengaruh tidak wajar
Dalam seksyen ini, ia boleh menjadi satu kesalahan jika seseorang itu menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung, untuk kesalahan ini, PDRM ada kuasa untuk ambil tindakan.
Seksyen 10 : Rasuah
Seksyen ini boleh dikenakan jika calon atau mana-mana wakil melakukan rasuah dengan cara tawar ‘pembelian undi’ samada secara langsung ataupun tidak dengan cara ‘bayar’ dengan wang, hadiah, pekerjaan, atau apa-apa ganjaran.
Untuk mengatasi masalah yang rumit ini, kerajaan perlu memperkenalkan Akta Pembiayaan Dana Politik. Akta ini dapat dijadikan panduan untuk membezakan di antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.
Hukuman di bawah AKPR 1954
Dengan kesalahan di atas, pesalah boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun, denda hingga RM5,000, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama 5 tahun.
Segala kesalahan rasuah juga boleh didakwa di bawah Akta SPRM 2009 di mana denda akan jadi lebih tinggi dan tempoh dipenjarakan akan jadi lebih panjang.
Hukuman Akta SPRM 2009
Mana-mana calon yang didakwa di bawah akta ini, calon tersebut boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sekiranya gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 akan dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali:
Sementara itu, apabila gagal melapor permintaan atau memperolehi suapan di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009 akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Andaikata perkara ini berlaku di kawasanb anda, segera buat laporan di talian1-800-88-6000.