Tanggal 19 November menyaksikan seluruh rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab dengan turun mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penyandang Parlimen Muar, Syed Saddiq kekal mempertahankan kerusi Parlimen Muar apabila meraih undi sebanyak 19,961 pada PRU15. Keputusan ini sekali gus menyaksikan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menewaskan dua pencabar dari Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dengan majoriti 1,345.
Menerusi satu kenyataan, Syed Saddiq berkata beliau akan meneruskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa penghargaan kepada pengundinya yang masih memberi kepercayaan untuk menerajui Muar.
“Saya terhutang budi kepada orang Muar kerana telah berikan peluang kepada saya untuk kembali berkhidmat bagi anda semua.
“Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada saya serta peluang yang terbaik untuk berkhidmat bagi penggal seterusnya.
“Masa untuk berpolitik sudah tamat. Kini masa untuk saya fokus berkhidmat dan saya bertekad untuk bekerjasama dengan semua pihak merentasi semua parti untuk bangunkan Muar,”, jelas beliau menerusi satu kenyataan.
Sambung Syed Saddiq, Muar perlu dibangunkan tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan tanggungjawab yang diberikan akan terus dilaksanakan meskipun ada beberapa pihak yang tidak menyokongnya.
Tahniah buat Syed Saddiq!
Kredit: Awani
BACA: “Please come back stronger in 5 years” – Netizen Berduka KJ & Nurul Izzah Kalah PRU15