Proses menggali semula kubur arwah Zara Qairina telah pun selesai dijalankan semalam agar jasad pelajar tingkatan satu itu boleh menjalani proses bedah siasat pada hari ini bagi membantu menegakkan keadilan ke atas kematian remaja 13 tahun itu.
Terkini, dilaporkan prosedur bedah siasat itu melibatkan empat orang pakar patologi dengan seorang daripada pakar tersebut diterbangkan khas dari Semenanjung Malaysia.
Tiga lagi orang pakar terlibat dalam prosedur itu ialah pakar dari negeri Sabah dan difahamkan, pakar dari Semenanjung dibawa masuk untuk menyertai bedah siasat kes tersebut kerana pihak polis mahu memastikan agar semua elemen keadilan buat mangsa dapat dipenuhi.
Pakar perunding patologi forensik daripada Semenanjung itu ialah Dr Khairul Anuar Zainun yang berkhidmat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Artikel Berkaitan: Kubur Arwah Digali Semula, Jasad Zara Qairina Masih Berada Dalam Keadaan Utuh
Artikel berkaitan: Mahukan Keadilan Buat Adik Zara Qairina, Ribuan Peserta Sertai Himpunan Solidariti Di Sabah
Proses bedah siasat itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 9 pagi tadi namun ditangguhkan seketika untuk menunggu pakar patologi dari Semenanjung itu yang kemudiannya tiba sekitar jam 10.55 pagi tadi, lapor Harian Metro.
Ibu Zara juga telah menerima penjelasan daripada salah seorang daripada tiga pakar dari negeri Sabah iaitu Dr Jessie Hiu berkenaan proses bedah siasat itu yang mungkin mengambil masa sekitar lima jam atau lebih lama daripada itu.
Selepas prosedur bedah siasat selesai, taklimat mengenai penemuan hasil bedah siasat juga akan diberikan kepada keluarga Zara oleh Dr Hiu.
Difahamkan, selepas segalanya berkait dengan prosedur itu selesai, pihak polis akan membawa jasad Zara untuk dikebumikan semula di Sipitang.
Difahamkan, sekitar 40 orang anggota polis berkawal di sekitar kawasan Hospital Queen Elizabeth 1 iaitu di mana prosedur bedah siasat itu dijalankan untuk memastikan proses tersebut berjalan lancar tanpa kejadian yang tidak diingini, lapor Berita Harian.
Semoga keadilan buat adik Zara Qairina dapat ditegakkan.
Sumber: Harian Metro