in

Program Work-Based Learning: Pengalaman Tentera Kini Diiktiraf Sebagai Diploma

ft mindef

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini ada peluang baharu untuk mengubah masa depan selepas bersara melalui program Work-Based Learning (WBL) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), dengan pengalaman kerja mereka kini boleh diiktiraf sebagai kelayakan akademik setara diploma.

Program ini dilaksanakan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan tujuan membantu anggota ATM meningkatkan taraf pendidikan tanpa perlu meninggalkan tugasan harian di kem atau pangkalan.

Untuk pengetahuan, WBL berfungsi dengan cara menilai kemahiran dan pengalaman kerja anggota tentera termasuk dalam bidang logistik, teknikal, pentadbiran, kulinari, dan sebagainya – lalu menukarkannya kepada kredit akademik yang diiktiraf oleh MQA.

557673046 18096852466734851 3408389254976186223 n

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, program ini bukan sekadar inisiatif pendidikan tetapi juga bentuk penghargaan kepada jasa mereka yang berkhidmat mempertahankan negara.

“Ramai anggota yang sudah lama berkhidmat cuma ada SPM. Pengalaman mereka sebenarnya setaraf dengan kelayakan diploma – sebab itu kita nak beri pengiktirafan ini secara rasmi” – Menteri Pertahanan

Sistem WBL disusun supaya tidak mengganggu jadual kerja anggota di mana pensyarah universiti akan datang ke kem atau pangkalan untuk menjalankan penilaian.

Dalam masa yang sama, anggota tidak perlu duduk dalam kelas sepenuh masa, sebaliknya mereka hanya perlu melalui beberapa peringkat penilaian:

  1. Taklimat & kesedaran – penerangan tentang peluang dan syarat.
  2. Modul tambahan – latihan untuk isi jurang kemahiran.
  3. Portfolio kerja – rekod pengalaman sebenar.
  4. Sesi lisan (viva) – penilaian bersama panel universiti.
  5. Penganugerahan diploma – selepas melepasi piawaian MQA.

Tempoh keseluruhan dianggarkan sekitar enam bulan, dan semua kos ditanggung kerajaan melalui peruntukan RM3 juta di bawah program Malaysia MADANI. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama beberapa universiti awam dan swasta termasuk:

  • UPNM – Diploma Pengurusan Logistik, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Pertahanan.
  • UiTM – Diploma Seni Kulinari, Pengurusan Hotel, Pengurusan & Teknologi Pejabat, Sains Sukan, Pendidikan Islam.
  • UTHM / UTM – Diploma Sains Geomatik.
  • UniKL & DRB-HICOM University – Program diploma teknikal dan automotif berkaitan pertahanan.

Sejak Jun 2025, seramai 231 anggota ATM daripada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara telah memulakan pengajian di bawah program ini di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan seramai 236 anggota dikenal pasti layak untuk kohort pertama

unnamed 1

Dalam pada itu, kerajaan menyasarkan 1,000 peserta menjelang akhir 2025, dan dalam jangka panjang, hampir 90,000 anggota yang masih berkhidmat dijangka akan turut menikmati peluang sama.

Program WBL ini juga, bukan sekadar menambah ilmu, tetapi membuka banyak peluang kepada anggota selepas bersara. Antara manfaatnya termasuk:

  • Lebih mudah cari kerja dalam sektor awam atau swasta.
  • Menambah nilai diri melalui kelayakan akademik rasmi.
  • Meningkatkan motivasi semasa berkhidmat.
  • Menarik minat rekrut baharu kerana ATM kini tawarkan pembangunan kerjaya yang lebih menyeluruh.

Selain membantu kebajikan anggota, inisiatif ini juga membantu ATM membina imej baharu sebagai organisasi yang progresif dan berfokus pada pembangunan insan.

Program ini juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh prinsip Malaysia MADANI – yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan modal insan.

Dengan memberi peluang pendidikan kepada wira negara, kerajaan bukan sahaja menghargai jasa mereka, tetapi juga membantu menyediakan kehidupan yang lebih terjamin selepas persaraan.

Kesimpulannya, program Work-Based Learning ini menjadi bukti bahawa pengalaman bertahun di lapangan kini bukan sekadar kenangan kerana ia diiktiraf sebagai ilmu, dan diploma yang memberi masa depan baharu kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada negara.

Sumber: Facebook