Postal Forum, sebuah badan kawal selia kendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) , telah menandakan satu lagi pencapaian signifikan dengan melancarkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos (Code of Practice for Postal Services – CPPS). CPPS ini merupakan kod amalan kendiri pertama dalam industri pos dan kurier negara.
Pelancaran rasmi kod amalan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil , sempena sambutan Hari Kurier Negara 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
CPPS telah dibangunkan melalui kerjasama erat antara Postal Forum, MCMC, dan pelbagai pemegang taruh industri. Kod amalan ini telah melalui beberapa sesi konsultasi bersama pihak kementerian, agensi kerajaan, platform e-dagang, pemain industri, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan persatuan pengguna. Setelah proses tersebut, CPPS telah diluluskan oleh MCMC pada Disember 2024.

Mengulas mengenai pelancaran tersebut, YB Datuk Fahmi Fadzil menekankan bahawa kod ini melangkaui aspek teknikal semata-mata; ia mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh dan memodenkan industri pos dan kurier, agar kekal relevan, efisien, dan diyakini dalam landskap ekonomi semasa.
CPPS kini menjadi penanda aras baharu bagi kualiti perkhidmatan, perlindungan pengguna, dan integriti industri.
Perlindungan dan Akauntabiliti Ditekankan
Pelaksanaan CPPS dijangka dapat meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan serta memastikan perkhidmatan pos yang boleh dipercayai dapat diakses secara adil dan saksama oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi.
CPPS menggariskan sebelas (11) komponen utama , yang bertujuan untuk memupuk sikap akauntabiliti, keterangkuman, dan penambahbaikan berterusan dalam industri. Komponen-komponen utama ini termasuk:
- Kualiti perkhidmatan
- Pemakluman dan ketelusan
- Keselamatan
- Tanggungjawab alam sekitar
- Harga yang adil
- Mekanisme bil
- Penyelesaian aduan pengguna
Fahmi Fadzil juga menyeru agar CPPS ini dapat diadaptasi dan diintegrasikan oleh semua pemain industri ke dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) masing-masing.
Ketua Postal Forum, Puan Nurhafizah Hanifah, menyifatkan pelancaran itu sebagai satu seruan kepada semua penyedia perkhidmatan untuk menerima pakai CPPS sebagai usaha kolektif bagi memperkukuh keterangkuman dan daya tahan industri pos dan kurier negara.

Sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kurier Negara 2025, Postal Forum turut mengiktiraf pencapaian cemerlang penyedia perkhidmatan melalui Anugerah MyKURIER.
Inisiatif MyKURIER merupakan program penarafan bintang yang direka untuk meningkatkan prestasi, keselamatan, dan standard perkhidmatan dalam industri pos dan kurier Malaysia. Penarafan ini membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih bijak berdasarkan kualiti dan kebolehpercayaan penyedia perkhidmatan.
Dalam anugerah tersebut, SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd telah menerima penarafan empat bintang , manakala Klach Courier Services Sdn Bhd dan Stargo Logistic Sdn Bhd turut dihargai atas penyertaan mereka.
