“Jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat berhenti.”
Itulah penjelasan polis berhubung insiden menyayat hati di Kilometer 80, Lebuhraya Timur–Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi Ahad yang melibatkan seekor anak gajah dilanggar lori dan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, anak gajah itu secara mengejut keluar dari hutan dan melintas jalan menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu melanggar anak gajah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Apa yang lebih menyayat hati, kematian itu dipercayai telah disaksikan sendiri oleh ibu gajah berkenaan yang kemudian bertindak agresif menghentam bahagian hadapan lori.
Difahamkan, bahagian kenderaan dilaporkan rosak akibat serangan itu, lapor Sinar Harian.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, insiden itu berlaku kira-kira jam 2.50 pagi dan melibatkan seorang pemandu lori berusia 28 tahun yang dalam perjalanan membawa muatan ayam dari Gerik ke Jeli.
Mujurlah, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel berkaitan: Anak Gajah Maut Ketika Melintas Jalan, Dipercayai Dilanggar Treler
Artikel berkaitan: Dipercayai Cuba Tolak Lori Untuk Selamatkan Anak, Tindakan Gajah Ini Buat Ramai Sebak

Menurut Zulkifli, sebelum kejadian, pemandu lori melihat seekor gajah dewasa di bahu jalan sebelah kanan dan menyangka laluan selamat untuk dilalui.
Pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kemudiannya berjaya menenangkan ibu gajah tersebut dengan tembakan ubat pelali.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi seminit lebih yang memaparkan ibu gajah cuba menolak lori dalam usaha ‘menyelamatkan’ anaknya yang sudah tidak bernyawa, sekali gus mengundang sebak warganet.
Malah, ramai juga yang mengaitkan insiden tragis itu dengan sambutan Hari Ibu.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa melalui laluan JRTB, terutamanya pada waktu malam, kerana kawasan tersebut merupakan laluan aktif haiwan liar.