Susulan kemalangan yang menimpa seorang wanita yang terjatuh daripada motosikal setelah ditimpa sebiji buah kelapa yang gugur di Jalan Teluk Kumbar, Balik Pulau tempoh hari, sekurang-kurangnya 20 batang pokok kelapa yang dikhuatiri mendatangkan risiko kepada orang ramai telah ditebang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negari (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata tindakan tersebut diambil susulan kejadian yang menimpa seorang wanita tempoh hari menyebabkan kecederaan parah.
Difahamkan, kerja-kerja penebangan pokok kelapa dimulakan sekitar jam 2 petang selain meneliti pokok-pokok lain di sepanjang laluan itu yang berkemungkinan mendatangkan bahaya dan berisiko kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, tindakan yang diambil adalah sebagai langkah keselamatan selain mengelak insiden sama berulang.
Mengulas tentang kejadian tempoh hari, seorang wanita yang sedang membonceng motosikal anaknya itu cedera parah setelah sebiji buah kelapa tiba-tiba jatuh lalu menimpanya yang kebetulan melalui jalan tersebut.
Akibat dari kejadian tersebut, mangsa difahamkan mengalami patah bahu kanan, patah tangan kiri serta patah dua tulang rusuk.
Kejadian yang kebetulan berjaya dirakam oleh seorang pengguna jalan raya tersebut memaparkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya setelah ditimpa sebiji buah kelapa yang gugur.
Rakaman video berdurasi 28 saat berkenaan kemudiannya tular di media sosial.
Walaupun begitu, anak mangsa telah dihubungi oleh Azrul dan dia memaklumkan bahawa ibunya kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Baca : Terjumpa Mata Kail Dalam Lauk Ikan, Restoran Bagi Pampasan Diskaun 60 Sen