Pernah tak korang rasa hidup dalam sebuah masyarakat itu terlalu sesak dan bising? Rasa nak menyendiri tapi realitinya bukan mudah nak pilih jalan tu. Apatah lagi di zaman sekarang, kita seakan ‘terikat’ untuk hidup bermasyarakat sebab tidak mahu dicop sebagai katak di bawah tempurung.
Seperti yang kita tahu, ada beberapa agama yang mewajibkan golongan rahib terutamanya untuk mengisolasikan diri dan bertapa di sebuah biara yang disediakan bagi mendekatkan lagi diri dengan tuhan.
Golongan yang memilih untuk bertapa ini, mereka akan bergantung sepenuhnya kepada alam sekitar dan tak berharap kepada teknologi. Kebanyakan orang yang bertapa akan mencari sumber makanan dan minuman daripada sumber hutan. Tempoh bertapa mereka juga tidak dapat dijangka, mungkin selama belasan atau puluhan tahun.
Percaya tak, ada juga individu yang pilih untuk hidup sendirian dan bertapa di dalam hutan dengan tujuan utama untuk lari dari masyarakat. Kenali 5 individu yang memilih untuk bertapa di dalam hutan dan gua hampir seumur hidup mereka.
Artikel Berkaitan: Juruterbang Muda Ditahan, Lakukan Penerbangan Tanpa Kebenaran Ke Antartika
1. Willard Kitchener MacDonald
Pada tahun 1944, Willard Kitchener MacDonald telah diarahkan berkhidmat ke luar negara untuk menyertai pasukan tentera dalam Perang Dunia Kedua. Namun, dalam perjalanan ke lokasi tugasan, MacDonald sempat melompat keluar dari kereta api tentera dan lari ke kawasan hutan.
Dari situlah mulanya kisah hidup MacDonald tinggal bersendirian di sebuah pondok terpencil berhampiran Gully Lake di Nova Scotia selama hampir 60 tahun.
Tujuan utama MacDonald melarikan diri dan memilih hidup di hutan pastinya kerana enggan menyertai peperangan. Malah, ramai yang percaya tindakannya itu sebenarnya untuk mengelak daripada ditangkap akibat meninggalkan tugasan perang.
Pada tahun 1950, kerajaan Kanada telah memberikan pengampunan kepada para pembelot perang. Namun, MacDonald tetap memilih untuk tinggal di pondok terpencilnya. Ramai beranggapan bahawa dia sudah jatuh cinta dengan keindahan alam, lalu memutuskan untuk terus kekal di sana.
Namun malangnya, pada tahun 2003 pondok usang milik MacDonald telah terbakar akibat kebakaran hutan. Selepas kebakaran itu, pihak Pegawai Colchester County telah membina sebuah kabin untuk tempat tinggal baharunya. Bagaimanapun, MacDonald kembali melarikan diri ke dalam hutan selepas rakan-rakan cuba meyakinkannya supaya menerima rawatan bagi masalah kesihatan yang dihadapi.
Pada 27 Jun 2004, pasukan pencari terdiri daripada 100 orang telah menemui mayat MacDonald di kawasan hutan belantara.
2. Christopher Knight
Christopher Thomas Knight, yang juga dikenali sebagai North Pond Hermit telah memulai kisahnya menjadi seorang yang bertapa di dalam hutan pada tahun 1986. Knight memutuskan untuk berhenti kerja dan memandu dari Massachusetts ke Maine. Dia hanya akan berhenti memandu jika keretanya kehabisan minyak.
Ketika itu, Knight baru sahaja berumur 20 tahun. Dia tidak memberitahu sesiapa tentang keputusannya itu termasuklah kawan-kawan bahkan ahli keluarganya.
Knight mengakui dia lebih selesa hidup berseorangan tetapi ia tidak menjelaskan sebab utama kenapa dia memilih untuk memandu keretanya jauh ke dalam hutan, sebelum meninggalkannya dengan kunci yang masih terpasang.
“Saya sendiri tak dapat jelaskan tindakan saya. Saya tak ada sebarang rancangan ketika pergi, saya tak fikirkan apa-apa. Saya cuma lakukan saja,” katanya.
Matlamat utama Knight waktu itu adalah untuk ‘hilang’ dari dunia sebenar dan hanya ingin hidup berseorangan di dalam hutan. Knight belajar untuk memasang khemah dan mula bertahan untuk hidup bersendirian. Namun, semuanya berubah ketika dia mula merasakan dia tidak mempunyai sumber makanan.
Walaupun dia pandai memburu dan menangkap haiwan, Knight tidak membawa sebarang alatan memburu bersamanya. Lebih mencabar lagi, kawasan hutan belantara di Maine tidak menawarkan hasil hutan untuk dimakan.
Akhirnya, rasa lapar Knight menguasai dirinya. Dia bertindak untuk mengetepikan rasa bersalah dan mula mencuri barangan makanan yang diperlukan untuk terus hidup. Selain makanan, Knight juga turut mencuri silinder propana dan keperluan lain.
Dia akan menyimpan barangan itu secukupnya untuk bertahan dari November hingga Mac. Dengan menggunakan cara ini, Knight dapat kurangkan pergerakannya keluar khemah justeru ia dapat menghindarinya meninggalkan jejak kaki di atas salji.
Knight akan mandi menggunakan salji yang telah dicairkannya menggunakan dapur kem propana kecil supaya asap daripada unggun api tidak mendedahkan lokasinya. Dia juga akan kerap menggunting rambut dan mencukur janggut agar mengelakkan syak orang ramai.
Knight menjalani kehidupan seperti itu selama 27 tahun sehinggalah dia ditangkap pada 4 April 2013 selepas didapati memecah masuk ke sebuah kabin. Akhirnya, dia dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan.
3. Valerio Ricetti
Seorang pendatang Itali bernama Valerio Ricetti tiba di Griffith, New South Wales pada tahun 1929 dalam keadaan dirinya seperti di hujung hayat. Ricetti telah hilang keyakinan terhadap masyarakat dan dia berasa sangat sedih setelah dia dirompak, ditipu, dan dipenjarakan.
Sewaktu Ricetti tiba di Griffith, hujan lebat melanda kawasan itu. Ricetti mencari perlindungan di bawah batu-batu besar. Keesokan paginya, dia menyedari bahawa tempat dia berteduh itu dikelilingi dengan tanah yang subur, air yang banyak dan ladang buah-buahan yang luas.
Menurut Australian Geographic, Ricetti telah mengumpul pelbagai kemahiran berguna sepanjang hidupnya. Dia pernah bekerja sebagai pembantu tukang batu, pelombong, pemetik buah, pemasang pagar dan pencari gali. Ricetti sedar bahawa semua kemahirannya itu boleh digunakan untuk membina sebuah rumah terpencil di atas Scenic Hill.
Selepas beberapa lama Ricetti menetap di kawasan itu, penduduk di Griffith mula perasan ada sesuatu yang berlaku di Scenic Hill. Walau bagaimanapun, setiap kali mereka datang untuk menyiasat, mereka tidak menemui sesiapa kerana Ricetti sempat menyorokkan dirinya di dalam tempat rahsia yang sudah digali olehnya.
Kehidupan Ricetti di atas bukit itu bertahan sehingga 1935, di mana dia terjatuh dari timbunan batu yang menyebabkan kakinya patah. Dia menghabiskan hari berikutnya dengan meminta pertolongan, sehingga akhirnya seseorang menemui Ricetti dan membawanya ke hospital.
Tindakan kecil itu telah membuatkan Ricetti mula sedar bahawa bukan semua orang akan melayannya dengan keji. Setelah Ricetti keluar dari hospital, dia menjadi terkenal di kawasan itu dan mula menerima tetamu di rumah terpencilnya.
Seorang kawan lama Ricetti bernama Valentino Ceccato telah melawatnya di rumah terpencilnya itu dan menawarnya untuk bekerja memetik kacang peas di ladangnya. Ricetti tetap tinggal di dalam ‘utopia pertapaannya’ sehingga tahun 1940. Kemudian ketika Perang Dunia Kedua, dia dituduh sebagai pengintip Itali dan dipaksa masuk ke kem tahanan perang.
Lima bulan kemudian, Ricetti telah didianogsis sebagai “gila” mungkin kerana terdapat pelbagai perubahan di dalam hidupnya. Dia kemudian dipindahkan ke institusi kesihatan mental. Namun selepas enam bulan, lelaki ini dibebaskan dengan satu syarat iaitu dia perlu tinggal di bandar dengan tempat tinggal yang sesuai.
4. Tom Leppard
Tom Leppard, atau “Leopard Man of Skye,” lebih dikenali sebagai pemegang Guinness World Record sebagai warga emas yang mempunyai tatu paling banyak. Paling mengejutkan 99.9 peratus badannya dipenuhi dengan tatu “rekaan kulit harimau bintang, di mana semua kulit di antara tompokan gelap itu ditatu dengan warna kuning saffron,” menurut catatan dalam rekod tersebut.
Walaupun terkenal dengan kulit harimau bintangnya itu, Leppard menjalani hidup yang agak terasing. Dari tahun 1987 hingga 2008, dia tinggal di sebuah pondok terpencil di Skye yang dibinanya sendiri di kawasan pesisir berhampiran Kyleakin.
Pondok itu diperbuat daripada batu dan bumbungnya dihasilkan daripada plastik. Pondok tersebut tidak mempunyai elektrik mahupun perabot. Setiap minggu, Leppard akan berkayak sepanjang 3 batu untuk membeli barangan keperluannya.
Pada tahun 2008, selepas 20 tahun hidup bersendirian, Leppard berpindah ke sebuah rumah satu bilik di Broadford, Skye. Leppard mengatakan, sewaktu tempoh perpindahan itu dia mengakui dia sudah tidak mampu lagi hidup di tempat terpencil itu kerana umurnya sudah mencecah 73 tahun.