Jika ke kedai haiwan peliharaan, kita mengharapkan kucing yang dipelihara berada dalam keadaan yang sihat, dijaga dengan elok dan diberi makanan yang berkualiti. Pun begitu, lain pula kisahnya dengan sebuah kedai haiwan peliharaan ini yang dikatakan memberi layanan tidak sepatutnya kepada kucing-kucing di premisnya.
Awal minggu lalu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Asrol Adizar telah mendedahkan bahawa sebuah kedai haiwan peliharaan popular yang terletak di Shah Alam tidak memberikan layanan sepatutnya kepada kucing-kucing yang dijaga di premis berkenaan.
Kedai haiwan peliharaan yang dikenali sebagai Imadi Pet itu dikatakan mengabaikan kucing-kucing yang ditempat di premis tersebut. Kelakuan tidak bertanggungjawab kedai ini terbongkar apabila gambar-gambar kucing yang kelihatan sakit dan kurus kering tersebar di internet.
Apa yang mengejutkan, kucing-kucing tersebut dikatakan telah diberikan makanan yang rosak penuh dengan lipas! Bukan itu sahaja, kucing yang tidak sihat juga ditempatkan bersama-sama kucing yang sihat.
“Ruang pameran yang menempatkan 51 ekor kucing ni dari jauh nampak la bersihnya walaupun berbau… tapi bila kita tengok dekat-dekat… makanan (kucing) dah berlipas bagai.”
“Kucing-kucing yang selsema ditempatkan sekali dengan kucing-kucing yang sihat. Belum tengok yang kurus kering, murung dan sebagainya.”
Setelah dakwaan kucing di situ diabaikan dan dibiarkan sehingga dijangkiti virus tular di media sosial, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak menyerbu premis berkenaan, lapor Berita Harian. 20 anggota JPV membuat pemeriksaan di bangunan tiga tingkat tersebut namun tiada kucing dibawa keluar dari tempat itu.
Seorang pegawai JPV walau bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang kes salah laku kucing yang ditemukan sepanjang pemeriksaan dilakukan di premis terbabit.
“Kami memerlukan bukti yang kukuh bagi membuktikan kucing di sini diabaikan. Jika ada, baru boleh dibawa ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.”
“Namun, sepanjang pemeriksaan tadi, tiada sebarang kes yang direkodkan.”
Sejumlah 600 ekor kucing ditempat di Imadi Pet buat masa ini, pegawai JPV tersebut juga memberitahu bahawa ini bukan kali pertama dia membuat pemeriksaan di premis berkenaan kerana pernah menerima aduan berlakunya perbuatan zalim terhadap kucing sebelum ini.
“Kami mengambil pendirian untuk berdiam diri berikutan apa yang kami buat dan cakap semua akan dipertikaikan oleh masyarakat. Kita sudah buat apa yang sepatutnya pada kucing di sini,” kata pegawai tersebut.
“Kucing di sini semua diberi makan mengikut jadual yang sudah ditetapkan. Seperti manusia, semua kucing ini juga perlu mendapatkan makanan secukupnya bagi mendapatkan berat ideal,” katanya lagi.
Pengurusan kedai haiwan peliharaan tersebut sebelum ini menyangkal dakwaan tersebar yang mengatakan kucing di premis tersebut tidak diberikan makanan serta dikurung di tempat yang sempit.
Pun begitu, seorang individu yang mendakwa bekerja berdekatan premis tersebut mengatakan bahawa JPV perlu menjalankan pemeriksaan dengan lebih teliti kerana kedai tersebut memang tidak berada dalam keadaan yang baik.
“Mereka tidak sepatutnya tengok sahaja di bahagian luar. Belakang kedai tu contohnya, boleh nampak banyak gumpalan bulu kucing dan air kotor,” kata individu tersebut.
Harap-harap pihak berkuasa dapat memerhatikan premis ini di masa akan datang. Sedih tengok kucing-kucing tu. Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, kan? Apa pendapat korang?
Baca: “Kenapa wujud manusia kejam macam ni? Dah berapa banyak kucing kami hampa racun…”