Empat orang kanak-kanak ditemui selamat selepas dilaporkan hilang selama 40 hari susulan pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di hutan Amazon.
Kawasan nahas itu adalah rumah kepada binatang buas seperti jaguar, ular dan pemangsa lain. Hutan Amazon juga adalah tempat kumpulan penyeludupan dadah bersenjata melakukan aktiviti mereka.
Empat orang kanak-kanak yang berumur 13, sembilan, empat dan satu tahun itu dipercayai berkeliaran di dalam hutan sejak 1 Mei lalu.
Mereke ditemui tidak jauh dari bangkai pesawat yang terhempas itu. Mayat tiga orang dewasa yang bersama mereka iaitu, ibu mereka, juruterbang dan seorang saudara, semuanya ditemui di lokasi nahas oleh tentera.
Pencarian besar-besaran melibatkan 160 orang askar dan 70 Orang Asli dengan pengetahuan mendalam tentang hutan telah dijalankan sejak beberapa minggu bagi menjejak mereka. Usaha ini juga telah mendapat perhatian global.
Memetik laporan New Straits Times, pihak berkuasa berjaya mengesan petunjuk seperti kesan tapak kaki, lampin, buah yang dimakan separuh ketika usaha mencari dan menyelamat.
Bimbang akan kanak-kanak itu akan terus merayau di dalam hutan dan menjadi semakin sukar untuk dikesan, tentera udara ‘membuang’ 10,000 risalah ikhtiar hidup ke dalam hutan dengan arahan dalam bahasa Sepanyol dan bahasa Orang Asli untuk memberitahu mereka untuk terus kekal di satu tempat
Pihak tentera juga menjatuhkan bungkusan makanan dan air botol dikawasan berhampiran nahas sebagai bekalan untuk kanak-kanak itu. Pasukan penyelamat juga telah menyiarkan mesej yang dirakam oleh nenek kanak-kanak itu, menggesa mereka supaya tidak bergerak ke tempat lain.
Pihak berkuasa Colombia memaklumkan empat orang kanak-kanak itu berada dalam keadaan lemah dan kini sedang dirawat.
Untuk rekod, pesawat ringan jenis Cessna 206 itu terhempas di tengah hutan Amazon dalam wilayah negara Colombia pada 1 Mei lalu.
Baca: Keluarga Buntu Gadis 22 Tahun Hilang, Kali Terakhir Kelibat Dirakam CCTV Dekat Chiang Mai Thailand