Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta jenama tempatan dalam pasaran peruncitan Malaysia kini tidak lagi mempertikaikan kepentingan pendigitalan.
Daripada peniaga pasar malam dan gerai tepi jalan hinggalah ke kedai milik keluarga dan penyewa premis di pusat beli-belah, perbincangan kini telah beralih daripada “Pilih e-dagang atau kedai fizikal?” kepada “Bagaimana kita boleh mempertingkatkan lagi perkembangan bisnes dengan menggabungkan saluran fizikal dan digital?”
Perubahan ini didorong oleh pelbagai sokongan sektor awam dan swasta terhadap transformasi digital, serta infrastruktur internet menyeluruh yang dibangunkan oleh kerajaan. Usaha-usaha ini telah menghapuskan halangan bagi mana-mana perniagaan, tanpa mengira saiz, untuk menyertai ekonomi digital.
PMKS yang inovatif di seluruh negara telah menunjukkan bagaimana mereka memanfaatkan kandungan dalam talian dan ekosistem menyeluruh TikTok Shop untuk menjana aliran pendapatan baharu, meningkatkan kehadiran pelanggan ke kedai fizikal, membina komuniti pelanggan setia, serta memperkaya pengalaman mereka.
Bagi Nik Nur Adzuan, pengasas bersama perniagaan pakaian solat patuh Syariah dan keperluan Haji & Umrah, Al-Cataly, yang telah beroperasi sejak 2014, cabaran utama dahulu adalah untuk mengembangkan jenamanya ketika hanya memiliki sebuah kedai fizikal di Kota Damansara, Selangor.
“Menjalankan perniagaan secara fizikal sepenuhnya bermakna pengetahuan tentang jenama kami hanya terhad kepada lokasi kedai sahaja. Untuk berkembang, kami memerlukan modal besar untuk membuka cawangan baharu, termasuk kos pendahuluan untuk deposit sewa, ubah suai premis, stok inventori, pengambilan pekerja, bil utiliti dan sebagainya,” jelasnya.
Menurut Nik, perniagaan mereka mungkin tidak mampu bertahan lama dalam jangka panjang jika mereka tidak berkembang. Ini disebabkan sifat perniagaan, yang meningkat semasa musim puncak seperti cuti sekolah dan Haji, tetapi berkurangan semasa tempoh bukan puncak kerana produk mereka tidak dicari dan dibeli setiap hari sepanjang tahun, tidak seperti barangan runcit.
“Bagi menampung kos operasi seperti sewa dan gaji pekerja, kami perlu membina aliran pendapatan yang lebih konsisten dengan memperluaskan jangkauan pelanggan tanpa menanggung kos operasi yang tinggi. Inilah sebabnya kami menerokai jualan dalam talian menerusi TikTok Shop,” kongsinya.
Nik menyatakan bahawa LIVE Hub oleh TikTok Shop dan TEKUN Nasional di Kuala Lumpur memberi mereka akses mudah kepada latihan dan peralatan bertaraf studio untuk menghasilkan kandungan dan siaran langsung berkualiti tinggi.
“Dalam tempoh hanya dua bulan, jenama kami telah berjaya menarik hampir 10,000 pengikut dalam talian, dan jualan kami telah meningkat sebanyak 12 kali ganda. katanya dengan penuh keterujaan. Malah, kami turut mempunyai pelanggan dari seluruh negara dan juga Singapura yang mengunjungi kedai fizikal kami di Selangor setelah kami membangunkan kehadiran jenama kami secara dalam talian,” akhir kata Nik.
Seorang lagi usahawan tempatan, Kamarul Zaman, yang merupakan pengasas dan pengendali perniagaan durian tempatan Pak Ali, turut mengakui kepentingan untuk menyatukan peruncitan fizikal dan digital demi membina jenama yang mampan.
“Kami memulakan Pak Ali pada tahun 2017 dengan menjual durian di gerai tepi jalan. Ketika itu, ia cuma sebuah perniagaan kecil-kecilan untuk menyara hidup,” katanya.
Kamarul menyatakan bahawa ada hari mereka menerima kunjungan pelanggan yang stabil, dan stok berjaya habis dijual. Namun, ada hari juga dimana bilangan pelanggan berkurangan dan ada durian tak terjual yang terpaksa mereka buang.
Begitulah ketidaktentuan bagi perniagaan produk segar dan mudah rosak di gerai fizikal. Sukar untuk bertahan apatah lagi untuk berkembang.
“Bagi mengatasi cabaran ini, terutamanya sewaktu perintah kawalan pergerakan COVID-19, kami menerokai TikTok Shop bagi mendapat pelanggan yang lebih stabil dan luas secara dalam talian bagi melengkapi gerai tepi jalan kami,” kongsi Kamarul lagi.
Melalui siaran langsung TikTok Shop, Kamarul dan pasukannya dapat menunjukkan kesegaran durian mereka secara langsung dengan membuka buah yang dipesan oleh penonton dalam talian, sekaligus meningkatkan kepercayaan dan jualan.
“Penglibatan dalam talian bukan hanya membolehkan kami mencapai pasaran yang lebih luas, tetapi turut meningkatkan kesetiaan pelanggan yang mengunjungi gerai fizikal kami. Ramai yang mula mengikuti akaun TikTok Shop kami selepas lawatan pertama, dan kami terus menerima pesanan berulang menerusi siaran langsung dan video beli-belah,” tambahnya.
Hari ini, Pak Ali telah menjadi satu jenama durian yang dikenali ramai di Malaysia, dengan lebih 24,000 pengikut di TikTok Shop serta purata jualan 1,500 kilogram durian setiap hari. Peningkatan populariti dalam talian turut membuka peluang baharu untuk Kamarul dan pasukannya menceburi khidmat katering acara secara fizikal.
Sementara itu, Frisha Fazara Binti Ishak, yang membantu menguruskan Frisha Classic Desserts and Bakery, sebuah perniagaan kedai pop-up milik keluarga, turut membuktikan bahawa gabungan perniagaan fizikal dan dalam talian telah membantu melestarikan perniagaan mereka serta mempelbagaikan aliran pendapatan.
“Ibu bapa saya memulakan perniagaan ini pada tahun 1990. Kami tidak pernah memiliki kedai tetap kerana pada masa itu, kami hanya sebuah perniagaan mikro dan tidak mampu menanggung sewa bulanan,” katanya.
Produk mereka kebanyakannya dijual di kedai pop-up bermusim di bazar dan sangat bergantung pada cadangan pelanggan, yang membantu mendapatkan beberapa pesanan penghantaran terus.
“Sejak saya mula bersama-sama menguruskan perniagaan, saya telah membantu ibu bapa memperbaharui model perniagaan dengan menyertai TikTok Shop. Siaran langsung dan video beli-belah telah melonjakkan perkembangan jenama kami, daripada hanya menerima beberapa pesanan bermusim kepada mencapai jualan lima angka secara konsisten setiap bulan,” katanya dengan penuh syukur.
Menurut Frisha Fazara, mereka kini telah mengumpul lebih 4,300 pengikut di TikTok Shop, yang telah menjadi pelanggan setia bukan sahaja dalam talian, malah juga di kedai pop-up mereka secara fizikal.
Perkembangan landskap peruncitan di Malaysia menunjukkan satu perubahan yang jelas, bahawa jualan secara digital dan fizikal bukan lagi dua pendekatan yang bertentangan, tetapi kuasa yang saling melengkapi.
Dengan semakin banyak PMKS tempatan bersedia menerima model runcit hibrid, ekosistem menyeluruh TikTok Shop dijangka terus memperkasakan perniagaan dengan memecahkan jurang antara jualan dalam talian dan luar talian.