Menjadi seorang ahli Parlimen sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah, anda memerlukan kepercayaan orang di kawasan tersebut dan harus amanah dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Australia baru sahaja menamatkan hari Pilihan raya persekutuan yang telah diadakan pada 21 Mei lalu untuk memilih barisan ahli Parlimen ke-47 Australia dan keputusannya tahun ini berpihak kepada Parti Buruh.
Apa yang menarik perhatian ialah apabila anak kelahiran Malaysia, Sam Lim yang juga bekas anggota polis dan pelatih ikan lumba-lumba dipilih sebagai ahli Parlimen Australia. Dia memenangi kerusi Perth di Tangey dan menewaskan calon Liberal, Ben Morton dengan margin 9.5%.
Lim berjaya memenangi kerusi di wilayah Australia Barat itu kerana dia merupakan calon yang menyokong tindakan membabitkan perubahan iklim, selain konservatif dihukum pengundi di negeri itu dan terutama di kawasan bandar mewah.
Dalam laporan ABC, Lim berkongsi dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat miskin, dia berkata rumah zaman kanak-kanaknya mempunyai bumbung bocor, lantai tanah dan tiada bekalan air yang mencukupi.
“Jadi kami terpaksa berhempas-pulas untuk 15 tahun pertama dalam hidup saya, tetapi 15 tahun itu membina saya sehingga hari ini.
Apabila saya terpaksa berjuang untuk memenangi kerusi ini, saya menggunakan semua keazaman yang saya peroleh dalam 15 tahun pertama hidup saya dan saya mencapainya.” katanya.
Difahamkan, menjadi seorang polis itu adalah cita-citanya sejak kecil dan dia sempat berkhidmat dengan PDRM pada tahun 80-an sebelum berhenti kerana gaji yang terlalu rendah.
“Saya menyertai pasukan polis pada 1980-an. Sebagai seorang konstabel, saya mendapat RM275 sebulan dan selepas potongan, hanya berbaki kira-kira RM180. Saya mahu berkongsi rezeki dengan ibu bapa, tetapi ia terlalu sedikit.”
Pada usia 45 tahun, dia menyertai polis Australia Barat dan menjadi individu bukan berkulit putih pertama dinobatkan pegawai tahunan Australia Barat pada 2020, sebagai menghargai jasanya dalam komuniti pelbagai kaum ketika pandemik Covid-19.
Tahniah!