Temasya dwi-tahunan, Sukan SEA merupakan acara yang sering dinanti-nantikan buat masyarakat ASEAN dan kali ini Thailand mewakili tuan rumah.
Selain barisan atlet aktif, acara berprestij ini turut disertai kerabat keluarga diraja. Berikut merupakan keluarga diraja yang beraksi dalam acara sukan kali ini.
1. Permaisuri Thailand
Antara yang mencuri tumpuan kali ini ialah penyertaan Permaisuri Thailand, Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana yang akan turun beraksi mewakili negaranya dalam acara pelayaran.
Isteri kepada Raja Maha Vajiralongkorn dijadualkan menyertai acara perlumbaan perahu layar besar (keelboat) SSL47 yang berlangsung dari 15 hingga 18 Disember di Pattaya, Chonburi.

Difahamkan, acara tersebut merupakan antara kategori baharu yang diperkenalkan pada edisi Sukan SEA tahun ini.
Baginda yang berusia 47 tahun itu akan berperanan sebagai pengemudi pasukannya, dan pernah menyertai Regata Piala Raja Phuket ke-37 sebagai persiapan terakhir sebelum Sukan SEA.

Artikel berkaitan: Gara-gara Konflik Sempadan, Kemboja Tarik Diri Daripada Sukan SEA
Artikel berkaitan: Sukan SEA Kembali Lagi, Ini 5 Negara Yang Kerap Jadi Tuan Rumah Bagi Sukan SEA
2. Anakanda Sultan Brunei
Sama seperti temasya sebelum ini, Putera Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pemain polo bertaraf antarabangsa.

Turut menyertai sukan itu mewakili Brunei Darussalam ialah kakak kepada Abdul Mateen, iaitu Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah.
Untuk acara kali ini, pasukan polo Brunei telah berjaya meraih pingat perak setelah bersaing sengit melawan pasukan polo Thailand dengan keputusan mata 0 – 7.5.

3. Putera Sultan Pahang
Putera Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukanlah nama asing dalam sukan polo.
Minat mendalam baginda terhadap sukan berkuda diwarisi daripada ayahanda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga figura penting dalam perkembangan sukan polo tanah air.

Semangat kesukanan yang ditonjolkan baginda membawa skuad ekuestrian polo negara meraih pingat gangsa selepas menewaskan Filipina dalam penentuan pingat gangsa kategori 2-4 Goals.

Sumber: Astro Awani, Bernama
