in

Perdana Menteri Thailand Batal Lawatan ke Sidang Kemuncak ASEAN Selepas Pemergian Permaisuri Sirikit

Perdana Menteri Thailand

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, membatalkan lawatannya ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di Kuala Lumpur susulan pemergian Permaisuri Sirikit, yang mangkat pada usia 93 tahun, Jumaat lalu.

Menurut laporan media tempatan, Anutin sepatutnya berlepas ke Malaysia pada Sabtu bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan, namun membatalkannya selepas menerima khabar duka itu.


Ratu
Permaisuri Sirikit

Kabinet Thailand turut dijadualkan bermesyuarat pada pagi Sabtu bagi membincangkan persiapan upacara pengebumian diraja.

Permaisuri Sirikit, yang juga bonda kepada Raja Vajiralongkorn, mangkat pada pukul 9.21 malam di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn, Bangkok, di bawah jagaan Persatuan Palang Merah Thailand.

Artikel berkaitan: Selain Trump, Ini Senarai Penuh Pemimpin Dunia Yang Bakal Hadir Sidang Kemuncak ASEAN

Artikel berkaitan: Malaysia Jadi Tuan Rumah Asean Summit 2025, Tapi Apa Sebenarnya Yang Dibincangkan Dalam Asean Summit?

download 6
Rakyat Thailand memegang gambar Permaisuri Sirikit ketika berkumpul di luar Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn, Bangkok.

Baginda sebelum ini dirawat sejak 2019 akibat beberapa masalah kesihatan serius serta jangkitan dalam aliran darah sejak 17 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Diraja Thailand, semua usaha perubatan telah dilakukan namun keadaan kesihatan baginda semakin merosot sebelum mangkat dengan tenang.

Sumber dari portal The Nation Thailand memaklumkan, Anutin dijangka tetap menghadiri sidang berkenaan pada 26 Oktober untuk menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai Thailand–Kemboja, yang turut disertai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai pemerhati.

Bagaimanapun, jika jadual tidak mengizinkan, tugas itu mungkin akan diwakilkan kepada Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow.

Raja Vajiralongkorn turut menitahkan agar tempoh berkabung selama setahun dilaksanakan bagi kerabat diraja dan pegawai istana, bermula dari tarikh kemangkatan.

Jenazah baginda akan disemayamkan di Balairung Seri Dusit Maha Prasat di Istana Diraja Bangkok sebelum upacara pengebumian diraja dijalankan mengikut adat istiadat Thailand.

Sumber: Malay Mail

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.