“Saya tak boleh terima cara dia bunuh adik saya… terlalu kejam, lebih teruk daripada binatang.” Itulah luahan Bismi Che Hin, abang kepada mangsa pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah, Juru yang menggemparkan negara semalam.
Menurut Bismi, 60, mangsa, Suraya Che Hin, 51, merupakan adik bongsu daripada enam beradik dan dikenali sebagai seorang wanita yang peramah, penyayang serta mudah disenangi orang sekeliling.
“Dia ni memang periang, suka bergurau. Dulu pernah jadi guru tadika, sayang budak-budak. Anak kandung dia seorang, tapi arwah juga jaga dua anak angkat sejak kecil,” katanya, lapor Sinar Harian.
Bismi berkata, dia mengetahui tentang kejadian menyayat hati itu selepas menerima panggilan daripada anak mangsa sekitar jam 7 malam.
“Mula-mula saya tak percaya. Bila besan saya sahkan berita tu betul, saya terus bergegas ke rumah arwah,” katanya.
Artikel berkaitan: Suami Ditahan Bantu Siasatan Kes Bun*h Isteri Dan Anak Perempuan Di Bukit Mertajam
Artikel berkaitan: Suami Pulang Terkejut, Temui Isteri Dan Anak Maut Dalam Rumah

Bagaimanapun, beliau tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian dan hanya mendapat maklumat daripada orang kampung yang berada di sekitar rumah berkenaan.
“Kami pun tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Macam-macam cerita keluar sekarang,” ujarnya.
Tambah Bismi, kali terakhir dia bertemu arwah ialah ketika majlis perkahwinan anak kepada suami pertama Suraya. Beliau juga mengakui tidak begitu mengenali suami kedua adiknya itu.
“Saya pun tak tahu sangat pasal dia. Dengar-dengar baru kahwin, tak sampai lima tahun pun,” katanya.
Bismi berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi dan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku.
“Saya nak keadilan untuk adik dan anak saudara saya. Cara dia bunuh tu memang tak ada hati perut,” katanya sebak.
Difahamkan, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Jeniri selepas selesai proses bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan mayat Suraya dan anak perempuannya berusia 11 tahun ditemukan di rumah sewa mereka dalam keadaan tragis.
Suraya ditemui di dapur dengan kecederaan parah di leher, manakala anaknya dijumpai meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Sumber: Sinar Harian