Kira-kira 50 selebriti masih kekal berstatus bankrap, termasuklah penyanyi terkenal berpangkat ‘Datuk’ walaupun dilihat seperti golongan ‘artis kaya’.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Insolvensi (MDI) yang turut memaklumkan bahawa ada di antara selebriti ini enggan memberi kerjasama membayar sumbangan bulanan ditetapkan selepas kes kebankrapan mereka ditadbir agensi berkenaan.
Malah ada di antara mereka cukup gemar memaparkan kehidupan mewah di media sosial namun masih gagal melakukan bayaran bulanan yang ditetapkan berdasarkan kemampuan walaupun jumlah dikenakan itu adalah kecil, lapor Berita Harian.
Artikel berkaitan: “Gaji RM2.8k beli rumah” – Abang Lawyer Dedah Antara Punca Orang Muda Muflis Awal
Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid berkata, sikap selebriti yang enggan menemui pegawainya untuk membincangkan kes kebankrapan walau notis bankrap sudah lama dikeluarkan juga turut menyukarkan proses membantu melepaskan individu terlibat dari status muflis mengikut peruntukan undang-undang.
“Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun. Tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap hingga kini.
“Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Difahamkan, antara artis yang berstatus bankrap itu ialah dua penyanyi rock terkenal negara yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular.
Selain selebriti artis terbabit, ahli perniagaan, tokoh korporat dan beberapa ahli politik juga turut tersenarai sebagai individu bankrap yang masih belum dilepaskan sehingga kini.
Kebankrapan mereka atas pelbagai faktor termasuk gagal memberi kerjasama sepatutnya kepada MDI bagi pengurusan kes mereka.
Sumber: Berita Harian