Rasanya semua orang dalam dunia ni sangat familiar dengan terma emoji dan penggunaannya. Emoji seperti orang ketawa sampai nangis emoji tersenyum dan emoji thumbs up mungkin merupakan antara emoji paling banyak digunakan masyarakat dunia.
Walau bagaimanapun, di Arab Saudi, menghantar satu emoji ini pula boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke dalam penjara dan diminta membayar denda melebihi RM100,000! Emoji apa tu?
Memetik laporan Wion News, menghantar emoji heart berwarna merah di aplikasi WhatsApp telah didedahkan oleh seorang pakar jenayah siber di Arab Saudi sebagai satu gangguan seksual di negara berkenaan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di akhbar tempatan itu, seseorang individu yang didapati bersalah menghantar emoji terbabit boleh berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga diminta membayar denda berjumlah kira-kira AS$26,649 (RM111,512).
Al Moataz Kutbi iaitu seorang ahli Persatuan Anti-Penipuan Arab Saudi berkata, penggunaan beberapa imej dan ekspresi semasa berbual secara dalam talian mempunyai risiko berubah kepada gangguan seksual jika tuntutan mahkamah difailkan oleh pihak yang berasa terancam.
Al Moataz juga memberi peringatan kepada pengguna agar tidak terlibat dalam perbualan tanpa kerelaan satu pihak kerana ia boleh menjerumus kepada gangguan seksual yang boleh membawa kepada pendakwaan di mahkamah.
“Menurut sistem anti gangguan, gangguan diklasifikasikan sebagai setiap pernyataan, perbuatan atau gerak isyarat dengan konotasi seksual yang dibuat oleh seseorang terhadap mana-mana individu lain yang menyentuh badan atau kehormatannya atau melanggar kehormatannya dengan apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan teknologi moden,” katanya.
Ujarnya lagi, penggunaan emoji seperti heart merah dan bunga ros merah sinonim dikaitkan dengan ganggual seksual menurut adat penduduk di sana.
Jika seseorang individu itu didapati mengulangi kesalahan sama, mereka boleh didenda sehingga AS$79,949 (RM334,666) dan dipenjarakan selama lima tahun.
Sumber: Mirror