Bercuti bersama keluarga sepatutnya menjadi satu pengalaman dan memori yang menyeronokkan. Namun, lain pula kisahnya kepada sekumpulan pelancong tempatan yang menerima nasib yang kurang baik ketika bercuti ke Pulau Perhentian Kecil di Terengganu baru-baru ini.
Menurut laporan, kumpulan pelancong tersebut didapati sakit selepas mandi-manda di kawasan pantai di pulau peranginan tersebut. Menurut salah seorang dari mereka, Hasan Yahaya, mereka terdiri daripada 27 orang dewasa, 7 kanak-kanak serta 6 bayi.
Sebahagian daripada mereka didapati pening kepala dan muntah-muntah selepas pulang dari pulau berkenaan.
“Ada yang dah rasa tak sedap badan sewaktu bercuti, tapi taknak fikirkan sangat”
Tambahnya lagi, ada antara mereka sudah merasakan sesuatu yang tidak kena ketika bercuti dan menyangkakan bahawa mereka berasa demikian kerana terlampau lama ‘berjemur’ di bawah matahari atau disebabkan mabuk laut.
Selain itu, ada antara mereka dalam kumpulan berkenaan mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus pulang dari percutian tersebut dan ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital.
Lebih membimbangkan, seorang bayi berusia satu tahun telah disahkan menghidap demam kepialu dan dua lagi kanak-kanak kecil mengalami keracunan darah, katanya lagi.
Hasan mengesyaki bahawa mereka jatuh sakit disebabkan sisa kumbahan yang tidak dirawat daripada resort-resort disana telah dibuang atau meresap terus ke laut, seterusnya menyebabkan ianya tercemar.
Jun lalu, insiden yang seakan-akan sama juga turut dilaporkan dimana enam orang wanita telah mengalami keracunan makanan walaupun mereka menuruti nasihat pegawai resort untuk makan di resort sahaja kerana “kes keracunan makanan yang semakin meningkat”.
Para pelancong yang ke sana turut meninggalkan review negatif di beberapa laman web terkenal, ada diantara mereka mendakwa mengalami simtom yang sama iaitu cirit-birit dan muntah selepas menginap di sana.
Menurut Hasan, dia telahpun membuat aduan kepada pihak pengurusan resort dan turut membuat laporan kepada Jabatan kesihatan Kuala Besut serta kementerian kesihatan dan hanya pihak kementerian menghubunginya semula bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang mereka yang dimasukkan ke hospital.
Baca : “Terkilan tengok” – [VIDEO] Ramai Sedih Lihat Taman Monumen Terengganu Dalam Keadaan Terbiar