Pembida nombor pendaftaran di laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berang selepas mendapati sistem online untuk membida nombor pendaftaran berkenaan telah menyekat proses bidaan tanpa sebarang penjelasan ataupun sebab yang dinyatakan.
Selain itu, beberapa individu mendakwa mereka berasa ditipu dan dimanipulasi oleh sistem JPJeBid berkenaan yang diselenggara sepenuhnya oleh JPJ tersebut.
Diperkenalkan pada tahun 2019, sistem JPJeBid membolehkan orang ramai untuk bersaing dan membida nombor pendaftaran kenderaan yang diinginkan. Namun, difahamkan terdapat beberapa nombor untuk nombor pendaftaran ‘FF’ dari Wilayah Persekutuan Putrajaya telah dihalang untuk bidaan.
Peniaga nombor pendaftaran kenderaan, Wallace Choy mendakwa sekatan itu berkemungkinan berkait rapat dengan pengaruh kumpulan “VIP” ditambah dengan kekurangan ketelusan dalam sistem itu sendiri.
Tambahnya lagi, ada kemungkinan kumpulan berkenaan telah membayar bayaran minimum terhadap nombor-nombor (yang disekat) tersebut supaya ianya tidak dibuka untuk bidaan awam.
“Kita tak tahu siapa sekat nombor-nombor ini”
Menurutnya, selain nombor pendaftaran ‘FF’ berkenaan, nombor biasa dan bukan khas seperti siri satu atau dua digit turut disekat untuk bidaan awam dalam talian tersebut dan ianya pernah berlaku sebelum ini melibatkan siri huruf pendaftaran sesetengah negeri seperti Johor – J dan juga Perak – A.
Berkenaan nombor ‘FF’ berkenaan, lebih daripada 60 nombor telah disekat dari bidaan awam di laman JPJeBid. Tinjauan min di laman web tersebut, ada beberapa nombor pada siri satu digit tiada dalam senarai bidaan.
Selain itu, ada beberapa nombor yang akan mengeluarkan keputusan ‘error’ apabila bidaan cuba dibuat. Tetapi ianya mungkin disebabkan masalah sistem yang dialami oleh laman web berkenaan. Perkara ini turut menjadi bualan di ruangan komen Facebook JPJ.
Sekiranya perkara ini berterusan, menurut Choy, kerajaan akan kehilangan pendapatan negara selain penyekatan bidaan tersebut kelihatan seolah-olah satu bentuk kebocoran kerana pengguna jalan raya akan dinafikan hak untuk membida nombor pilihan mereka.
Perkara tersebut adalah tidak adil kerana sistem bidaan secara atas talian tersebut asalnya mahukan ketelusan, tetapi banyak nombor tidak boleh dibida dan lebih mengecewakan, selepas siri tersebut habis terjual, nombor-nombor ini akan dijual semula pada harga yang berlipat kali ganda di pasaran.
Tambah Choy lagi, perkara sebegini kerap kali berlaku sebelum ini. Pada peringkat awal, beberapa nombor akan dihalang untuk bidaan, selepas beberapa bulan, nombor berkenaan akan muncul di pasaran.
Selain itu, pihak berkuasa terutamanya JPJ dan kementerian pengangkutan perlu lebih telus tentang sekatan nombor pendaftaran kenderaan tersebut.
Jika beberapa nombor memang telah disekat daripada bidaan awam, perlu ada penjelasan siapa di belakangnya dan mengapa nombor-nombor tersebut disekat.
Sumber : MalaysiaNow
Baca : [VIDEO] Nak Elak Ditahan JPJ, Lelaki Sanggup Tinggalkan Tunang Di Jambatan Pulau Pinang