Seorang penceramah bebas ditahan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata suspek yang berusia 61 tahun itu telah ditahan di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu pada 18 April (Isnin) lepas untuk memberi keterangan.
Beliau berkata, sebelum ini polis ada menerima aduan berhubung dakwaan terbabit daripada ibu mangsa yang juga kenalan suspek.
“Perbuatan amang seksual fizikal tersebut didakwa berlaku pada program di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada bulan Mac lalu.
“Mangsa menyertai program anjuran suspek tersebut bersama bapa dan neneknya namun ibunya tidak ikut serta,” katanya.
Dalam laporan Kosmo!, Suffian menyatakan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu kemudiannya dikatakan telah menceritakan kejadian menimpanya kepada ibunya sebaik pulang ke rumah.
Beliau juga berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Baca: [TERKINI] Ebit Lew Didakwa, Babit 11 Pertuduhan Gangguan Seksual