Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas pengendali kereta api yang tidak berhenti di Hentian Kuala Gris. Kesannya, hampir 100 pelajar tidak dapat hadir ke hari pertama persekolahan penggal ketiga 2021/2022.
Dalam satu kenyataan, KTMB memohon maaf kepada pelajar yang terlibat, ibu bapa serta pihak sekolah. Pihak KTMB juga menjamin mereka akan menambahbaik servis bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan.
KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian, lebih-lebih ia lagi melibatkan 100 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini.
“Siasatan sedang dijalankan dan kakitangan yang terlibat dengan insiden tersebut telah digantung tugas. Tindakan disiplin akan diambil jika berlaku kecuaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kira-kira 100 pelajar dari Kampung Kuala Gris terkandas di Hentian Kuala Gris apabila kereta api yang merupakan pengangkutan utama mereka tidak berhenti seperti biasa.
Difahamkan, SMK Dabong terletak kira-kira 14 kilometer dari stesen itu.
Sumber: Berita Harian, Utusan Malaysia
BACA: Lumpuh Sejak Kecil, Remaja Terharu KTM Tunai Impian Naik Kereta Api