Kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian pengguna jalan raya dan apa yang lebih membimbangkan adalah kecuaian tersebut boleh membahayakan keselamatan dan nyawa individu lain.
Tular di media sosial satu rakaman daripada dashcam menunjukkan sebuah Perodua Myvi mengundur sendiri sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan lain.
Menerusi video yang berdurasi 30 saat itu, pada awalnya kelihatan pemandu Myvi terbabit sedang berhenti di tepi jalan dan keluar dari kenderaannya untuk ke gerai jualan di kawasan tersebut tanpa menutup pintu keretanya.
Beberapa saat kemudian, kereta itu mengundur ke belakang lalu melanggar bumper hadapan kereta pemilik rakaman dashcam dan pintu yang terbuka itu terkepak kebelakang.
Pemandu yang sedang membeli takoyaki itu dilihat turut sama berlari mengejar keretanya, namun tidak sempat menarik brek tangan sebelum pelanggaran.
Artikel berkaitan: Pemandu Berdepan Detik Cemas, Kereta Dipandu Terbabas Dalam Tasik Berhampiran The Mines
Artikel berkaitan: “Tolonglah” – Pemandu Bas Kesal Pemilik Kereta ‘Parking’ Sesuka Hati Sampai Ganggu Jalan Awam
Menerusi video tersebut, insiden kemalangan itu dipercayai berlaku pada 20 November lalu namun lokasinya tidak dapat dipastikan.
Video cetus pelbagai reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, video yang memaparkan insiden berlaku antara kereta Myvi dan kenderaan pemilik dashcam mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang mendakwa pemandu kereta Myvi itu tidak menarik brek tangan dan menyebabkan kenderaan itu berjalan mengundur dengan sendirinya.
Melihat video itu, ramai menasihati supaya jangan mengambil mudah tentang keselamatan kerana pada bila-bila masa sahaja bahaya boleh berlaku.
Tidak kurang juga ada yang kurang senang dengan kewujudan gerai di tepi jalan raya yang dilihat boleh mengganggu pengguna apabila ada yang ingin berhenti untuk membeli dan sebagainya.
Sumber: Facebook