Apabila duit mengaburi mata, seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid antara tiga individu yang direman kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis.
Menurut laporan Buletin TV3, Kejadian berlaku sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu, tiga individu itu termasuklah anak kepada imam masjid tersebut.
Artikel berkaitan: “Imam baru bagi salam” – Anas Tahir Terkejut Pak Cik Ajak Budak Bergaduh Gara-gara Ingin Rapatkan Saf
Artikel berkaitan: 2 Polis Bukit Aman Didakwa Terima Rasuah RM1.25 Juta Untuk Tutup Kes Beli Senjata Api Warga Israel
Difahamkan, ketiga-tiga mereka ditahan reman lima hari sehingga Ahad ini (9 Jun) dan suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis di beberapa lokasi berasingan di Kangar semalam.
Suspek utama dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek yang juga pemilik sebuah syarikat perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.
Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati bagi setiap permohonan nikah terutama bagi pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini akan berhubung dengan syarikat yang dimiliki oleh suspek ketiga yang juga anak kepada imam masjid itu.
Syarikat tersebut beroperasi di Kangar, modus operandinya, mereka akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu semula perlu membayar sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan itu.
Kemudian, RM2,000 daripada jumlah itu, akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs sebagai wang denda terhadap pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.
Manakala baki daripada jumlah itu pula akan dibahagi-bahagikan antara ketiga-tiga suspek membabitkan akaun peribadi milik penjawat awam dan imam masjid serta akaun syarikat milik suspek ketiga.
Siasatan juga mendapati terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan selain tidak melalui Mahkamah Syariah dan suspek utama dipercayai mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber: Buletin TV3