Agama Islam sangat menitik berat tentang pemakanan dari segi halal dan haram. Justeru, umat Islam dinasihatkan untuk berhati-hati dalam pemilihan makanan dan minuman supaya tidak melanggar hukum syarak.
Tular di media sosial dua keping gambar yang memaparkan isi daging yang berbentuk seperti katak didakwa dijual di sebuah pasar raya di Selayang.
Menerusi hantaran seorang pengguna Facebook, didakwa kejadian itu berlaku pada Selasa. Dapat dilihat menerusi gambar yang dikongsikan, didapati isi daging terbabit diletakkan dalam pinggan di bahagian ikan bersama beberapa jenis makanan laut lain.
Artikel berkaitan: “Obses sangat nak halalkan benda haram” – Minum Soju Halal, Influencer Dikecam Tak Cakna Isu Agama
Perkara itu merungsingkan apabila makanan haram telah bercampur dengan makanan halal secara terbuka.
“Kejadian berlaku apabila makanan haram bercampur dengan yang halal dijual secara longgok. Jadi berhati-hati apabila membeli di pasar raya ini,” katanya.
Difahamkan aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan pasar raya yang telah mengambil tindakan berhubung isu tersebut.
Perkongsian sama memaklumkan, aduan juga telah dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan kerisauan kerana bimbang jika ada yang menyangkakan daging tersebut adalah daging burung puyuh.
Merujuk Maktabah Albakri, katak dikelaskan sebagai amfibia dan dagingnya haram untuk dimakan kerana terdapat larangan daripada membunuhnya berdasarkan nas sahih.
Justeru, apa sahaja haiwan yang dilarang untuk dibunuh adalah dilarang untuk dimakan. Selain itu, katak termasuk dalam haiwan dua alam yang dianggap jijik untuk dimakan menurut sebahagian ulama.
Sumber: Facebook, Maktabah Albakri