Rakyat Malaysia telah menjalankan tanggungjawab mereka dan kita dapat lihat keputusan undian, bagaimanapun boleh dikatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini antara PRU yang paling sengit dalam sejarah.
Sehingga kini, masih belum ada lagi parti yang akan membentuk kerajaan baru dan sekaligus masih belum ada lagi yang menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sebenar.
Dapat dilihat bahawa parti Barisan Nasional kecundang teruk dan antara impak paling besar apabila bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tewas di tangan Dato’ Ramanan Ramakrishnan dari Pakatan Harapan dalam bertanding sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Presiden mesti undur. Sekarang!
Berikutan dengan kekalahan teruk yang terjadi kepada BN, Tan Sri Noh Omar telah meletak jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Selangor semalam, memetik laporan Utusan, perletakan jawatan itu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan beliau terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika laungan hashtag #zahidhamidiletakjawatan dibuat, Shahril Hamdan juga memberikan pandangan yang sama terhadap Zahid apabila beliau juga letak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO.
Pada hari yang sama, desakan itu juga turut dibuat oleh Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter miliknya malam tadi sehingga meraih hampir 50K jumlah retweets dalam masa 16 jam.
Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab. Lebih2 lagi bila strategi perang diatur oleh Panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.
Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi.
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) November 20, 2022
Menurutnya, ini kerana reformasi UMNO perlu dilakukan dan tidak boleh ditangguh lagi. Sebelum ini, KJ mempunyai hasrat ingin membuat perubahan pada parti jika memenangi kerusi parlimen dalam PRU kali ini kerana mendapat makluman bahawa ramai yang tak gemar dengan segelintir pemimpin UMNO.