Untuk sesiapa yang mempunyai kenderaan, cuba perhatikan butang yang berdekatan dengan panel penyaman udara kenderaan atau biasanya ada di bahagian dashboard dan pasti akan ternampak dua butang yang menunjukkan pergerakan angin yang berpusing atau angin dari luar.
Secara ‘rasmi’nya, butang tersebut adalah butang untuk tetapan pengudaraan kenderaan dan ia pastinya akan disertakan dalam mana-mana kenderaan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Profesor Dr Wong Shaw Voon, tetapan peredaran udara kereta tersebut perlu dihidupkan dan ianya boleh menyelamatkan nyawa.
Tambahnya lagi, sekiranya fungsi pengudaraan angin luar tersebut tidak dipasang, pemandu dan penumpang akan cepat berasa penat atau pengsan disebabkan kekurangan oksigen, terutamanya pemanduan jarak jauh.
Selain itu, kesesakan lalu lintas terutamanya untuk tempoh yang lama akan menyebabkan paras oksigen dalam kenderaan menurun sekiranya fungsi tersebut tidak diaktifkan.
Ini secara tidak langsung akan menyebabkan risiko kesihatan kepada penumpang kenderaan dan pemandu.
Menurut Wong, butang pengudaraan angin luar tersebut perlu dihidupkan walaupun ia akan mengurangkan kesejukan kenderaan atau menyebabkan bauan yang kurang menyenangkan untuk memasuki kenderaan.
Tambahnya lagi, ini adalah langkah keselamatan kritikal yang tidak boleh diabaikan untuk mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini.
Terdahulu, para media melaporkan bahawa empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan mereka disyaki akibat kekurangan oksigen sebelum merempuh Plaza Tol Bentong.
Wong berpendapat, mangsa berkemungkinan tidak menghidupkan fungsi pengudaraan angin luar tersebut dan beliau turut menasihatkan orang ramai yang tidak mahu menggunakan fungsi tersebut boleh mempertimbangkan untuk membuka sedikit tingkap bagi memastikan pengudaraan yang betul.
Sekiranya pemanduan jarak dekat atau tersekat dalam kesesakan sekitar 10 minit, ianya tidak akan membahayakan kesihatan, namun menurut Wong, sekiranya pemanduan melebihi 10 jam, ianya mempunyai risiko tersendiri.
Demi keselamatan, tekan sahaja butang pengudaraan tersebut, nasihat Wong kepada pemandu.
Baca : Lelaki Bengang, Cuba Telefon Hotline SUKE Selama 30 Minit Tapi Tak Ada Siapa Angkat!