Kain denim atau dikenali sebagai denim boleh dikatakan agak versatil dan boleh dijadikan pelbagai jenis sama ada jaket, beg dan semestinya seluar dan disebut sebagai jeans.
Tahu tak korang jeans pada awalnya ialah dikenali sebagai ‘blue jeans’ dan merujuk kepada rekaan seluar oleh Jacob W Davis dengan kerjasama daripada syarikat pengeluar jeans terkenal Levi Strauss & Co pada tahun 1871.
Kalau dikira-kira, masuk tahun ini dah berusia 151 tahun dah ‘penemuan’ seluar yang cukup dikenali sebagai seluar yang tahan lasak, tahan lama dan sering menjadi pelengkap gaya baik lelaki mahupun perempuan.
Mungkin disebabkan ‘usianya’, ada satu cerita yang kurang best dari Jepun berkenaan jeans.
Khabarnya, generasi muda dari ‘ibu negara’ fesyen ini tidak lagi meminati seluar jeans lebih-lebih lagi yang bewarna biru.
Perkara ini dijelaskan dengan trend perniagaan di sana yang khabarnya terjejas teruk apabila lambakan produk tersebut kurang laku dan menyebabkan beberapa premis yang menumpukan jualan jeans terpaksa ditutup gara-gara mengalami kerugian.
Salah satunya ialah cawangan JEM yang ikonik di Shibuya, sebuah kedai ‘flagship’ menjual jeans jenama Jeans Mate yang telah beroperasi selama 30 tahun!
Walaupun ada yang berpendapat penutupan kedai berkenaan juga disebabkan beberapa faktor lain, laporan penjualan jeans di Jepun mencatatkan kemerosotan sebanyak 30% sepanjang tempoh 20 tahun kebelakangan.
Menurut salah seorang pemuda yang ditemubual dalam salah satu rancangan di Jepun, dia mengakui yang dirinya tidak memiliki walaupun sepasang seluar berkenaan. Ini ditambah pula dengan kemunculan ‘kumpulan anti-jeans’ di atas talian yang turut berkongsi rasa tidak senang dengan ‘kewujudan’ seluar berkenaan.
Dalam masa yang sama, menurut penulis di SoraNews, pemakaian jeans disana hanya boleh dilihat pada golongan-golongan orang tua selain hanya segelintir sahaja yang masih mengenakannya.