Orang dewasa sepatutnya memberikan contoh yang terbaik kepada kanak-kanak kerana mereka mudah meniru segala perbuatan yang ditunjukkan. Pun begitu, terdapat segolongan individu yang bukan sahaja tidak faham tentang hal ini malah menunjukkan contoh yang lebih teruk lagi.
Menurut Coconuts, beberapa video yang dimuat naik di laman Facebook milik lelaki bernama Wan Arta telah menaikkan kemarahan netizen kerana menunjukkan sekumpulan lelaki membuat gangguan seksual terhadap seorang penari tradisional Indonesia di khalayak ramai.
Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja berkelakuan tidak senonoh di hadapan orang awam, tetapi kelakuan jijik itu turut diperhatikan kanak-kanak! Video yang telah dikongsi oleh lebih 11,000 pengguna Facebook itu menunjukkan beberapa orang lelaki bergilir-gilir mengganggu penari yang membuat persembahan tarian tradisional Bali berkenaan.
Walaupun ada yang mengatakan tarian tersebut mungkin boleh jadi sejenis tarian Bali yang agak erotik bergelar Joget Bumbung, namun tarian sebegitu tidak wajar dipersembahkan jika melihat kehadiran kanak-kanak dalam jumlah yang besar di kawasan tersebut.
Joget Bumbung merupakan sejenis joget dimana penari akan menari dengan gaya menggoda dan menjemput penonton untuk turut sama menari. Namun, sebuah festival Joget Bumbung telah diadakan di Denpasar, Indonesia bagi menepis tanggapan masyarakat terhadap tarian itu yang dianggap sebagai satu tarian seksual.
Melihatkan video yang telah dimuat naik pengguna laman sosial tersebut, ternyata ramai lagi yang masih menganggap tarian tersebut sebagai sesuatu yang seksual dan bukannya tarian tradisional untuk melambangkan negara seberang itu.
“Kenapa tiada yang orang yang bantu perempuan tu? Kasihannya,” kata seorang netizen.
“Jijik dan memalukan! Tak hormat (orang) langsung!” marah salah seorang netizen.
Rata-rata netizen bengang dengan perlakuan meloyakan ditunjukkan oleh sebilangan lelaki tersebut yang tanpa segan silu berkelakuan tidak senonoh di hadapan kanak-kanak. Ada juga yang menzahirkan keprihatinan terhadap masa depan anak-anak tersebut jika tarian itu adalah budaya biasa di Bali.
Teruk sungguh perangai! Semoga kanak-kanak yang menonton tidak terikut-ikut dengan perangai tak elok yang ditunjukkan oleh lelaki-lelaki itu.
Baca: Netizen Bengang Ibu Bapa Curi Sangkar Haiwan Peliharaan Depan Anak Di Pusat Beli Belah