Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun kini menjadi yatim piatu setelah bapa, nenek dan datuknya meninggal dunia dalam satu nahas kemalangan di Kota Tinggi, Johor.
Menurut Berita Harian, kanak-kanak terbabit, Athiyyah Nur Sofia Muhamad Izuddin, masih tidak memahami dirinya sudah menjadi yatim piatu dan mencari-cari neneknya yang dikatakan sudah berjanji untuk bawa pergi makan.
Mana nenek? Kata nak pergi makan,” tanya Athiyyah.
Artikel berkaitan: Kemalangan Selepas Konvokesyen: Satu-satunya Mangsa Terselamat Belum Tahu Ibu, Bapa & Kakak Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: Video Tular Kemalangan Maut Adik Naura, Pemandu BMW Didakwa
Dijaga nenek sejak berusia setahun, ibu meninggal dua tahun lepas
Difahamkan kanak-kanak itu menjadi mangsa tunggal terselamat dalam kemalangan yang melibatkan pertembungan dua kereta, malam kelmarin.
Nahas yang berlaku pada jam 8.30 malam itu mengorbankan nyawa Muhamad Izuddin Md Yusuf, 36, dan ibu bapanya iaitu Md Yusuf Mukhtar, 71, serta Rosnah Salleh, 65.
Bapa saudara Athiyyah, Mohd Nazim Md Yusuf, 42, berkata kanak-kanak itu adalah anak tunggal dan dibesarkan oleh datuk dan neneknya selepas kematian ibu pada dua tahun lepas.
Menurutnya, selepas kemalangan berlaku, Athiyyah dan bapanya masih dalam keadaan sedar tetapi tidak mengetahui datuk dan neneknya sudah meninggal dunia.
Dia asyik mencari nenek, nenek kata nak belanja makan.
“Athiyyah amat rapat dan manja dengan orang tua saya kerana tinggal bersama mereka sejak berusia setahun.
“Masa kejadian, mereka dalam perjalanan keluar makan malam di Felda Tenggaroh,” katanya.
Malah Mohd Nazim juga memaklumkan yang dia sempat memangku Muhamad Izuddin sejurus tiba di lokasi kemalangan selepas dimaklumkan orang kampung.
Saya sempat mengajar adik mengucap dua kalimah syahadah sebelum dibawa ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Adik saya bekerja sebagai juruteknik kilang pendingin hawa dan kerap berulang-alik dari Johor Bahru ke Felcra Sungai Ara setiap hujung minggu untuk meluangkan masa bersama anaknya.
“Sejak isterinya meninggal dunia dua tahun lalu, adik jadi pendiam. Tiap kali mak suruh berkahwin lagi, adik saya akan merajuk dan terus keluar ke kubur isterinya,” katanya.
Difahamkan ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
Beliau dan adik beradik juga akan berbincang mengenai penjagaan Athiyyah, malah dia juga sedia menjadi penjaga anak saudaranya itu yang memang rapat dengan isterinya.
Sama-sama kita doakan semoga urusan adik Athiyyah dipermudahkan. Al Fatihah. Tabah ya dik…
Sumber: Berita Harian