Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) tampil menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa bumi akan kehilangan graviti selama tujuh saat pada 12 Ogos 2026 sehingga kononnya boleh mengorbankan puluhan juta nyawa.
Khabar angin itu tersebar luas di platform Instagram dan X, dipercayai berpunca daripada satu teori konspirasi yang mendakwa wujudnya dokumen sulit NASA dikenali sebagai Project Anchor bertarikh November 2024.
Dakwaan berkenaan turut mengaitkan ramalan seorang bekas ahli fizik dari Universiti Harvard yang mendakwa pernah “menemui syurga seperti digambarkan dalam kitab suci”.
NASA bagaimanapun menegaskan bahawa senario bumi kehilangan graviti adalah sesuatu yang mustahil dari sudut sains.

Artikel berkaitan: Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan Ketika Gempa Bumi Lemah Di Bukit Kepong
Artikel berkaitan: Lagi Gegaran Dikesan Susulan Gempa Bumi di Segamat Sekitar Jam 9 Pagi
Dalam kenyataan kepada laman semak fakta Snopes, jurucakap agensi itu menjelaskan bahawa graviti bumi bergantung sepenuhnya kepada jisimnya dan tidak boleh hilang secara tiba-tiba.
Menurutnya, satu-satunya keadaan yang boleh menyebabkan graviti lenyap adalah jika keseluruhan sistem bumi termasuk teras, mantel, kerak, lautan serta atmosfera kehilangan jisim.
Agensi itu turut menolak dakwaan bahawa NASA menyembunyikan maklumat atau bertindak menentang kepentingan manusia, sebaliknya menegaskan komitmen mereka terhadap ketelusan dan penyampaian maklumat berasaskan bukti saintifik.

Walaupun teori tersebut mencetuskan kebimbangan dalam talian, para saintis menegaskan bahawa graviti merupakan hukum asas fizik yang tidak boleh hilang secara mendadak.
NASA turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang “peristiwa tujuh saat tanpa graviti” akan berlaku dan orang ramai tidak perlu panik.
Agensi itu menegaskan bumi kekal selamat, graviti kekal stabil dan kehidupan akan berjalan seperti biasa.
Sumber: Sinar Harian
