Persengketaan antara Ali Puteh dengan balu Allahyarham Abam, Nor Hidayah Mohd Ali dilihat mungkin akan sampai ke penghujungnya.
Lapor mStar, dikatakan kemelut itu telah memberikan impak besar kepada Ali Puteh apabila pelawak itu tidak menerima banyak tawaran kerja dan ada antaranya batal pada saat-saat akhir.
Banyak job dibatalkan sejak awal kes
Tambah adik kepada arwah Abam itu lagi, dia melalui hidup sukar dan hanya bertahan dengan wang simpanan yang dia ada.

Katanya, sejak awal kes ini mendapat perhatian, banyak tawaran kerjanya dibatalkan dan kurang terima tawaran sepanjang tempoh 2 tahun kebelakangan ini.
“Saya harus berjimat cermat kerana ada banyak anak membesar. Bagaimanapun syukur segala kelengkapan masih mencukupi.”

Biarpun tertekan dengan situasi yang dilalui, Ali bagaimanapun terpaksa kuat untuk meneruskan kehidupan serta menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Namun dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dan anggap ia adalah dugaan buat dirinya untuk baiki diri.
“Ketika arwah ibu masih hidup saya juga menanggung kos rawatan perubatan. Saya hanya katakan kepada isteri percayalah rezeki akan datang satu hari nanti.”
“Saya tidak mahu salahkan sesiapa sebaliknya meletakkan semua kesalahan kepada diri sendiri. Mungkin ini adalah balasan Allah terhadap dosa-dosa saya yang dahulu. Allah jentik hati saya dengan ujian sebegini.”
Bersedia nak berdamai dengan Hidayah

Katanya lagi, dia kini sudah bersedia untuk bersemuka dengan Hidayah untuk selesaikan segala kemelut yang melanda mereka.
Namun begitu, dia menolak seandainya mana-mana pihak sengaja mahu jadikan kisah mereka sebagai bahan tontonan umum.
Ini kerana ada stesen TV yang mahu menemukan mereka, tetapi bagi Ali, tidak perlu diberitahu kepada khalayak sebaliknya, dia akan lakukan sendiri.
Ali juga mengatakan dirinya terbuka jika Hidayah ingin berjumpa dengannya untuk selesaikan masalah berkaitan dokumen untuk tuntutan faraid.
Untuk rekod, Hidayah ada failkan saman fitnah terhadap Ali pada Mei 2020 berhubung dengan kenyataannya di Instagram.

