Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan senarai penuh barisan kabinet yang bakal bersamanya memimpin negara. Pengumuman beliau berkenaan telah meraih pelbagai komen daripada rakyat Malaysia termasuklah bekas Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi satu perkongsian di Facebook semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyifatkan barisan kabinet terkini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga seolah-olah sanggup menjual maruah negara demi keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Hari ini, perkongsian Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Satu kenyataan balas juga telah dikeluarkan beliau menerusi akaun Facebook miliknya.
Tulis beliau, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan seperti meroyan itu seolah-olah mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu.
Untuk pengetahuan, sebelum melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, satu perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu telah diadakan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
“Mahiaddin (Muhyididin) dan sekutu perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan seperti yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong.
Mahiaddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat terima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan,” tulisnya.
Kata Dato’ Seri Zahid Hamidi lagi, beliau mengingatkan Tan Sri Muhyiddin bahawa pembentukan kerajaan sekarang bukanlah kerajaan Pakatan Harapan tetapi ia adalah Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama gabungan parti terbesar dan parti kecil yang memenangi pilihan raya.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Zahid Hamidi juga sempat mengkritik kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin suatu ketika dahulu yang gagal mencipta sebarang rekod baik sehingga dikenali sebagai kerajaan gagal.
Sumber: FB Zahid Hamidi