Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan besar dalam struktur Liga Super musim baharu apabila memperkenalkan sistem pendaftaran pemain import yang lebih fleksibel, dengan setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan sehingga 15 pemain import berdasarkan kemampuan masing-masing.
Namun begitu, hanya sembilan pemain asing boleh disenaraikan dalam satu perlawanan, 7 di atas padang dan 2 di bangku simpanan. Komposisi pemain import di atas padang turut ditetapkan, iaitu 4 import terbuka, 1 kuota Asia, dan 2 dari Asia Tenggara (ASEAN).
Memetik laporan Stadium Astro, langkah ini diambil bagi meningkatkan kesaksamaan dan daya saing Liga Malaysia (Liga-M) serta menyesuaikan jendela perpindahan tempatan dengan liga-liga utama dunia. Ia juga dijangka meningkatkan nilai komersial Liga-M dan menambah tarikan dalam kalangan peminat serta penaja.
Dalam masa yang sama, perubahan kuota ini akan memberi kelebihan kepada kelab-kelab yang bakal bersaing di pentas antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan Kejohanan Kelab AFF, yang menuntut skuad lebih mantap untuk menghadapi cabaran kelab gergasi rantau ini.
MFL turut menegaskan bahawa penggunaan maksimum kuota import ini tidak diwajibkan, sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan setiap kelab.
Langkah ini dijangka merancakkan lagi saingan Liga Super musim akan datang dan memberi ruang kepada kelab untuk merancang strategi yang lebih kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.