Seorang pesara tentera laut baru-baru ini menjadi perhatian ramai apabila dia berjaya meraih pendapatan lebih kurang RM8,000 sebulan hasil mencari bola golf yang tenggelam dalam tasik di sekitar ibu negara Kuala Lumpur dan Selangor.
Memetik laporan Malay Mail, Sumadi Ibrahim iaitu bekas tentera sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia selama 22 tahun.
Selepas bersara, beliau yang kini berusia 51 tahun menggunakan kepakarannya untuk menyelam dan memungut bola golf yang tenggelam di tasik.
Selepas bola-bola golf tersebut dikutip olehnya, bola-bola berkenaan akan dijual semula kepada pemain golf yang kehilangan bola itu untuk bermain.
Artikel berkaitan: Tragedi Banjir Di Kelantan: Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Selepas Pegang Jerisi Besi
Artikel berkaitan: Dituduh Rosakkan Ekosistem, Ini Sebab Penduduk Korek Pasir Untuk Buat Laluan Air Ke Pantai
Difahamkan, Sumadi boleh mengumpul antara 500 hingga 600 biji bola golf dan beliau akan mencari bola-bola itu tiga kali seminggu pada waktu malam dengan hanya bersumberkan cahaya bulan.
Ini kerana beliau tidak menggunakan lampu suluh ketika mencari bola-bola yang tenggelam di tasik.
Meskipun tasik padang golf yang menjadi lokasi pencarian bola golf itu tidak sedalam lautan, pekerjaannya itu tetap mempunyai cabarannya yang tersendiri di mana air tasik itu lazimnya gelap, jadi kadang-kala Sumadi terpijak serpihan cengkerang siput dan duri sawit.
Oleh kerana beliau risau jika berlaku kekejangan pada kakinya ketika mencari bola golf di tasik, beliau telah mengupah seorang pembantu yang tugasnya adalah berjaga-jaga ketika beliau turun ke tasik untuk menyelam.
Ini kerana menurutnya, pembantunya itu akan dapat membantunya jika tiba-tiba berlaku kecederaan terhadapnya.
Difahamkan juga, Sumadi akan membersihkan bola-bola golf yang dikutipnya dari dalam tasik itu sebelum dijual semula dengan harga semurah RM0.70 sebiji untuk jenama biasa dan RM6 untuk bola golf berjenama premium.
Sumber: Malay Mail