Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan seekor anjing liar yang didakwa ditembak mati oleh pihak Majlis Daerah Besut (MDB).
Anjing liar yang dikenali sebagai Kopi itu sebelum ini pernah tular kerana telatahnya bermain dengan seekor anak kucing terbiar, kira-kira pada bulan Mac lalu menarik perhatian netizen.
Artikel berkaitan: Warnakan Anak Anjing Menyerupai Panda, Zoo Di China Terima Kecaman Warganet
Artikel berkaitan: Kes Dera Anjing Husky: Pemilik Didakwa Figura Terkenal, Penyelamat Dituduh Menculik?
Sebuah laman Instagram @myforeverdoggo berkongsi seorang penduduk di kawasan itu (saksi) yang mengenali Kopi terdengar bunyi tembakan yang kuat.
View this post on Instagram
Lalu, dia bergegas keluar dari rumahnya dan mendapati Kopi terbaring berlumuran darah dan menangis kesakitan, anjing liar itu didapati mati tidak lama kemudian.
Video berkenaan membuatkan ramai netizen marah dan merasakan tindakan MDB itu melampaui batas namun pihak berkuasa itu ada mengeluarkan kenyataan berkenaan isu itu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Sukeri Ibrahim berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 25 pegawai dan kakitangan MDB, Pejabat Veterinar Daerah Besut dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera pada 6 September lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 62 aduan gangguan anjing liar daripada orang awam membabitkan 131 tangkapan di seluruh kawasan di Besut dalam tempoh bermula Januari hingga September lalu.
“Kita juga turut menerima aduan orang awam mengenai sekumpulan anjing liar di sekitar Bandar Jertih yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu.
Operasi itu dilakukan mengikut piawai tatacara prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan MDB menggunakan peruntukan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membenarkan penggunaan senjata api dalam keadaan tertentu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sudah memaklumkan bahawa operasi itu dilakukan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDB) 1990.
Katanya, berdasarkan undang-undang itu, Yang Dipertua atau pegawai yang diberi kuasa dibolehkan untuk membinasa dan melupuskan anjing termasuk yang berlesen jika pemunyanya gagal ditemui.
“Berdasarkan SOP, anjing itu sepatutnya ditanam tetapi pegawai operasi dihalang oleh pengadu menyebabkan kesukaran mengambil bangkai anjing itu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sukeri berkata, dakwaan seekor anjing liar yang dibiarkan mati selepas ditembak adalah tidak berasas dan tidak benar.
Sumber: Instagram, Harian Metro