Benarlah kata orang, sekeping gambar sebenarnya menceritakan 1001 kisah yang tak ramai orang ketahui di sebaliknya. Malah bukan mudah juga bagi seorang jurugambar untuk merakam momen-momen yang penuh makna itu.
Oleh sebab itulah, gambar yang diambil Mehmet Aslan memaparkan seorang bapa yang tempang mendukung anaknya kudung kaki dan tangan di Turki ini meraih anugerah tertinggi di Siena International Photo Awards baru-baru ini.
Menurut SBS News, di sebalik kebahagiaan di dalam gambar tersebut terselit satu kisah sedih mengenai kehidupan bapa dan anaknya ini.
Isteri terhidu gas perang, lahirkan anak tidak berkaki dan tangan
Kesengsaraan keluarga ini bermula apabila Munzir Al-Nazzal sedang berjalan di dalam bazaar di Idlib, utara Syria apabila tiba-tiba bom meletus.
Akibat daripada kejadian itu, dia kehilangan kaki kanannya. Manakala anaknya, Mustafa pula dilahirkan tanpa kaki dan tangan langsung.
Isteri Munzir, Zeinab yang hamil dengan Mustafa secara tidak sengaja terhidu gas perang semasa perang saudara di Syria dulu. Ubat-ubatan yang diambilnya telah menyebabkan bayi yang dikandung mengalami gangguan saraf yang jarang-jarang berlaku.
Mustafa dikatakan mengalami sindrom tetra-analia yang menyebabkan beliau tiada anggota tangan mahupun kaki.
https://www.instagram.com/p/CVUok-LAIpS/
Keluarga Munzir ini kemudian meninggalkan Syria dan kini duduk di salah satu daerah di Turki yang mana mereka telah bertemu dengan jurugambar, Mehmet Aslan yang menjadi rakan mereka.
Menurut Mehmet, kisah kehidupan keluarga Munzir telah memberi kesan yang mendalam buat dirinya mengenai kepayahan hidup menghadapi peperangan.
Perang secara umumnya adalah isu yang ada di seluruh pelosok dunia, disebabkan itu saya mula mengambil gambar berkenaan isu ini.
“Tetapi pada saya keluarga ini memberi kesan kepada saya mengenai situasi sukar yang telah mereka hadapi saat perang tersebut berlaku.
“Saya tak sangka gambar ini akan mendapat jumlah perhatian yang sangat memberangsangkan kerana pada saya gambar ini adalah sumber kebahagiaan bagi saya,” katanya.
Gambar kemesraan bapa dan anak ini kini telah dipilih sebagai ‘Photo of The Year’ di Siena International Photo Awards (SIPA) 2021.
Semoga Tuhan merahmati keluarga Munzir ini dan mereka terlindung daripada bahaya peperangan.
Baca: Sebab Nuklear? Kuasa? Tapi Ini 3 Peperangan Yang Berlaku Hanya Sebab Remeh Antaranya Tembikai