Seorang wartawan Gaza, Basem Alhabel, mendapat perhatian antarabangsa selepas videonya menggunakan bahasa isyarat ketika melaporkan situasi perang tular di media sosial.
Alhabel, 30, yang menggambarkan dirinya sebagai “wartawan pekak di Gaza”, memanfaatkan akaun Instagramnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kebuluran dan kemusnahan di Gaza susulan serangan berterusan oleh tentera Israel.
View this post on Instagram
Konflik Israel–Gaza yang berlarutan sejak sekian lama kembali memuncak pada Oktober 2023 apabila pejuang Hamas melancarkan serangan ke wilayah Israel, mencetuskan tindak balas ketenteraan besar-besaran.
Sejak itu, Gaza dibedil hampir setiap hari, mengakibatkan lebih 60,000 nyawa terkorban selain kemusnahan infrastruktur dan krisis kemanusiaan yang semakin parah.
“Saya ingin menyampaikan suara saya kepada dunia dan juga suara golongan pekak yang tidak boleh bercakap atau mendengar, supaya ada pihak yang dapat membantu,” katanya melalui rakan dan jurubahasa, Mohammed Moshtaha, yang dikenalinya semasa perang.
Artikel berkaitan: Ahli Farmasi Gaza Temui D*dah Dalam Tepung Bantuan Makanan AS-Israel
Artikel berkaitan: Hanya Wanita, Kanak-Kanak Jadi Mangsa Serangan Udara Di Gaza & PBB

Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan merakam dan menghasilkan video dari pelbagai lokasi sebelum disiarkan di media sosial supaya suara rakyat Gaza dapat didengari dunia.
Kini, Alhabel memiliki lebih 141,000 pengikut di Instagram.
Difahamkan, beliau akan merakam video kemudian kembali ke khemah untuk melakukan kerja penyuntingan.
Antara kandungan yang pernah dikongsikannya ialah rakaman penduduk mengutip tepung di tanah sambil beliau menggunakan bahasa isyarat untuk menjelaskan keadaan yang dihadapi rakyat Gaza.
“Seperti yang anda lihat, orang ramai sedang mengutip tepung bercampur pasir,” katanya.
Sejak perang bermula, Alhabel dan keluarganya dipindahkan ke sebuah sekolah yang dipenuhi khemah.
“Tiada ruang walaupun untuk seseorang berehat seketika. Saya tinggal di sekolah itu selama setahun setengah.
“Kami mahu keadaan ini berakhir supaya semua orang boleh hidup gembira, saya boleh memberi makan kepada anak-anak, dan kehidupan kembali indah,” katanya.