Belanjawan 2025 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dan antara intipati yang paling mendapat perhatian ramai ialah kerajaaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.
Ketika pembentangan Belanjawan 2025 itu berlangsung semalam di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menggunakan beberapa perkataan Bahasa Melayu yang jarang didengari oleh masyarakat umum seperti istilah membugar, tatanan, prakarsa dan wewenang.
Buletin TV3 menerusi platform X kemudiannya telah berkongsi maksud perkataan-perkataan Bahasa Melayu itu agar orang ramai boleh menambah ilmu pengetahuan mereka.
Perkataan ‘membugar’ yang digunakan oleh PMX bermaksud memulihkan, memperbaiki atau memperbaharui.
“Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat,” ucap beliau di Parlimen.
Manakala istilah ‘tatanan’ yang digunakan oleh beliau pula bermaksud aturan, sistem, susunan atau tatatertib.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi istilah ‘prakarsa’ pula ialah inisiatif, daya usaha atau ikhtiar.
“Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan,” ucap PMX ketika pembentangan Belanjawan 2025 semalam.
Perkataan ‘wewenang’ yang digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 itu pula bermaksud hak dan kekuasaan (untuk berbuat sesuatu).
Selain itu, ada banyak lagi istilah sastera Bahasa Melayu yang digunakan oleh beliau ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, antaranya ‘walhasil’ (kesimpulan), mencakup (merangkumi) dan musharakah (perkongsian).
Sama-sama lah kita martabatkan penggunaan Bahasa Melayu di negara kita yang tercinta ini.
Sumber: X @BuletinTV3, Kosmo